'Mahkamah beri peluang terakhir kepada kamu' - Hakim

Iklan
Norshuhada didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen KL pada Selasa, atas tuduhan menggunakan dokumen palsu untuk dua program berjumlah RM15,776, tahun lalu.

KUALA LUMPUR –"Mahkamah beri peluang terakhir kepada kamu,” kata Hakim Mahkamah Sesyen di sini sebelum menjatuhi hukuman denda RM20,000 kepada seorang pembantu tadbir kewangan markas tentera laut, pada Selasa.

Hakim, Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Norshuhada Ismail, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas satu pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk dua program berjumlah RM15,776.

Iklan
Iklan

Rozina turut menasihati tertuduh supaya menjadi teladan kepada anak-anak.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 30 hari jika gagal membayar denda tersebut.

Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai ejen kepada Kementerian Pertahanan Malaysia, didakwa bersubahat dengan seorang pengurus syarikat berusia 59 tahun, menggunakan dokumen sebagai tulen.

Dokumen itu iaitu Kertas Kerja bagi Permohonan Perkhidmatan Sajian bagi Kursus Bijak Urus Wang pada 28 Februari hingga 3 Mac 2022 dan Bengkel Memperkasakan Modal Insan pada 14 hingga 17 Mac tahun sama, berjumlah RM15,776.

Iklan

Ibu kepada tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan di pejabat Pusat Tanggungjawab (PTJ) Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan Malaysia di sini antara Februari hingga Mac 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Norshuhada yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman denda tanpa pemenjaraan.

"Saya ada tiga anak berusia satu, enam dan 11 tahun, saya janji tidak akan melakukan kesalahan sama kerana sudah menyesal.

"Ekoran kejadian ini, saya akan dikenakan tindakan tatatertib, hilang pekerjaan dan tiada tempat tinggal,” katanya sebak.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqah Ab Razak mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal.

"Tertuduh bertugas sebagai pembantu tadbir kewangan di bahagian perolehan, ia profesion yang mulia maka, tidak seharusnya dicemari dengan unsur jenayah.

"Penggunaan dokumen palsu merupakan sikap yang tamak, oleh itu kami memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal,” katanya yang turut tidak membantah sekiranya mahkamah menjatuhi hukuman denda sahaja.