SHAH ALAM - Polis Selangor melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM42.26 juta yang dirampas bermula 2016 hingga tahun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelupusan berkenaan membabitkan dadah seberat 1,991.26 kilogram (kg) yang melibatkan 9,142 kertas siasatan.
"Antara dadah yang akan dilupuskan terdiri methamphetamine, heroin, ketamine, pil ekstasi dan erimin 5 dengan pelupusan dilakukan selepas mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding mahkamah yang sudah selesai.
"Pelupusan bahan kimia dan dadah ini akan dilaksanakan oleh syarikat Cenviro Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
"Kita akan berada di lokasi pelupusan bagi memastikan proses itu berjalan lancar," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut Hussein berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor menahan 18,911 orang yang terbabit dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
"Daripada jumlah itu seramai 609 pengedar dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Beliau berkata, pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM306.31 juta dirampas bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
"Dadah yang dirampas antaranya syabu (2,244.12 kg), ganja (407.98kg), heroin (169.19kg), ketamin (129.42kg), kokain (105.09kg) dan heroin base (26.06kg).
"Selain itu, kita turut merampas pil estacy (99,550 biji), daun ketum (825.53kg), cecair ketum (5,525.08kg) dan candu masak (8.93 gram)," katanya.
Menurutnya, JSJN Selangor berjaya menumpaskan 29 sindiket pengedaran dadah, termasuk empat kes makmal dadah haram di negeri ini.
"Kita turut menyita aset pengedar dadah membabitkan wang tunai, kenderaan, hartanah, bangunan dan rumah bernilai RM11.43 juta bagi tempoh sama," katanya.
Hussein berkata, kejayaan tangkapan dan rampasan yang besar itu adalah hasil usaha gigih pegawai dan anggota polis.
"Kita turut menghargai jasa orang awam yang telah memberikan kerjasama dan berkongsi maklumat kepada pihak polis," katanya.