[VIDEO] 'Ini jihad kecil saya'

Iklan

KUALA TERENGGANU - Seorang pelukis menzahirkan solidariti terhadap kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin dengan melakar lukisan bertemakan negara itu menggunakan teknik 'air brush' dan karikatur pada kenderaan.

Mohd Rozamil Mohd Yatim, 36, berkata, usaha yang dilakukan itu sebagai 'jihad kecil' bagi menarik golongan masyarakat pelbagai peringkat untuk lebih peka terhadap kekejaman yang dilakukan rejim Zionis terhadap penduduk di negara Islam tersebut.

Iklan
Iklan

Mohd Rozamil menunjukkan antara lukisan bertemakan negara Palestin yang dilakar pada topi keledar dan kini mendapat permintaan tinggi.

Menurutnya, lakaran lukisan bertemakan bendera Palestin sentiasa mendapat permintaan sejak teknik lukisan itu mula diperkenalkan ketika serangan di Palestin tercetus semula pada 2021.

Iklan

"Buat masa ini banyak tempahan diterima untuk dilukis pada topi keledar dan ia semakin bertambah selepas serangan terbaharu yang berlaku di Palestin pada 7 Oktober lalu.

"Antara tema lukisan yang saya ketengahkan ialah bendera Palestin, kain keffiyeh, Masjid Al-Aqsa dan karikatur di beberapa kenderaan antaranya Perodua Myvi, Viva dan Toyota.

Iklan

"Biasanya pelanggan menyerahkan kepada saya untuk menghasilkan apa jua lukisan berdasarkan kreativiti saya sendiri dan tema lukisan yang dapat permintaan tinggi ketika ini ialah bendera Palestin," katanya ketika ditemui pemberita di bengkelnya di Chendering di sini, pada Selasa.

Mohd Rozamil turut melakar karikatur memaparkan wajah pemimpin Israel sebagai luahan kemarahan terhadap kekejaman dilakukan sehingga meragut ribuan nyawa rakyat Palestin.

Menurut Mohd Rozamil, sebanyak 50 peratus daripada hasil jualan akan disalurkan kepada tabung Palestin melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai.

"Setiap lukisan di topi keledar dikenakan bayaran RM950 manakala lukisan di kenderaan antara RM1,500 hingga RM2,500 bergantung kepada saiz dan jenis lukisan.

"Harga bagi lukisan-lukisan ini juga bergantung sama ada pelanggan mahukan lukisan kekal atau lukisan sementara.

"Bagi lukisan sementara ia mampu bertahan sekitar empat hingga lima bulan dan ia juga boleh dipadamkan," katanya yang mula bergiat dalam bidang seni itu sejak 2015.

Teknik 'air brush' merupakan karya menggunakan tekanan udara untuk menyemburkan cat pada medium tertentu seperti kereta, basikal, motosikal dan helmet berdasarkan kreativiti pelukisnya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Muhd Kamaruzaman Mahmud, 39, berkata, dia memilih untuk melakar lukisan bertemakan negara Palestin pada Toyota Hiace miliknya.

Jelasnya, lukisan itu diharap dapat menyuntik kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya kanak-kanak dan golongan muda berhubung kezaliman yang dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

"Ini adalah jihad kecil saya sebagai umat Islam kerana Masjid Al-Aqsa di Palestin adalah masjid ketiga suci selepas Makkah dan Madinah. Walaupun saya tiada upaya untuk ke sana, ini salah satu usaha yang saya mampu lakukan untuk menyedarkan masyarakat berkenaan isu ini.

"Ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur baru-baru ini, lukisan bertemakan Palestin di Toyota Hiace ini mendapat perhatian ramai orang...ada yang ambil gambar dan rakamkan video.

"Saya harap isu ini terus membuka mata dan lebih ramai rakyat Malaysia akan menyokong perjuangan pembebasan Palestin serta terus melakukan pelbagai cara untuk menzahirkan solidariti kepada saudara Islam di sana," katanya.