Tabung Aman Palestin Johor kutip sumbangan lebih RM1 juta

Iklan
Norul Ahmady (dua dari kanan) menerima cek sumbangan untuk Palestin daripada Irma Shida di Tampoi Indah, Johor Bahru pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Lebih RM1 juta berjaya dikutip Tabung Aman Palestin Johor untuk disalurkan kepada mangsa di Palestin.

Pengurus Aman Palestin Johor, Norul Ahmady Abdul Rahman berkata, sumbangan itu dihulurkan kira-kira 50 syarikat swasta dan korporat di negeri ini bagi menyokong serta membantu rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

"Sehingga kini, kita sudah mendapat sumbangan lebih RM1 juta dan sebagai bantuan awal, pihak Aman Palestin sudah menyalurkan sumbangan RM500,000 dalam bentuk barang keperluan harian, makanan dan perubatan.

"Wakil Aman Palestin di negara berkenaan membantu dalam operasi mengedarkan sumbangan berkenaan. Sehingga kini dua trak barangan sudah disampaikan kepada rakyat di sana," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima sumbangan RM20,000 disampaikan oleh Pengarah Urusan Syarikat Medeseri Edina Sdn Bhd, Dr Irma Shida Abu Samah dan Pengarah Eksekutif Medeseri, Datuk Dr Muhamad Iqbal Mohamad.

Penyerahan tersebut disampaikan dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) antara Medeseri Edina Sdn Bhd dan Qew Group Of Companies di Tampoi Indah di sini pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, Irma Shida berkata, sumbangan berkenaan juga sebagai tanda rasa tanggungjawab dan simpati pihaknya dengan keadaan di Palestin.

"Kami berharap sumbangan ini akan disumbangkan secepat mungkin ke Palestin supaya dapat membantu meringankan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin," ujar beliau.

Mengenai MoU berkenaan, beliau berkata, tujuannya bagi meningkatkan kerjasama, kemahiran, pengalaman dan modal dalam mengembangkan perniagaan untuk sektor kesihatan menerusi skala besar dan menjadi peneraju di negeri ini.