SEREMBAN - Seorang lelaki bukan sahaja kecewa apabila isteri bermain kayu tiga, malah menanggung sakit akibat dilanggar 'skandal' isterinya dalam satu kejadian di sini Khamis lalu.
Kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu berlaku ketika Tee Seng Keat, 35, cuba mengejar kereta dinaiki isterinya bersama seorang lelaki yang mengakibatkannya mengalami luka teruk pada kepala, kaki tangan dan anggota badan selepas dilanggar mereka.
Menurutnya, dia hanya mengesyaki isterinya yang merupakan warga Vietnam berusia 29 tahun mempunyai hubungan dengan lelaki lain sejak dia keluar rumah dua minggu lalu.
"Waktu itu isteri saya beritahu mahu ke rumah kakaknya, namun selepas diperiksa dia sebenarnya berada di Melaka dan apabila saya memarahinya kerana berbohong, dia buat laporan polis.
"Sejak itu saya tak jumpa lagi dengannya melainkan pada 21 Oktober lalu dia ada datang ke salon kami dan apabila saya memeriksa telefonnya, saya dapati ada mesej ayat-ayat cinta dengan lelaki lain," katanya ketika ditemui di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Seremban Jaya, P Gunasekaran di sini pada Selasa.
Bagaimanapun katanya, apabila bertanya lanjut dengan isterinya berkenaan perkara itu dan mengajaknya berbincang untuk perceraian, dia kelihatan sangat takut.
Ujar Seng Keat, pada hari sama lelaki terbabit turut datang menerjah salonnya untuk membincangkan perkara itu selain turut mengeluarkan kata-kata ugutan.
"Saya agak terkejut kerana dia beritahu sama ada mahu menyelesaikan perkara itu dengan gangster atau polis sebelum beredar dari situ.
"Sehinggalah pada Khamis lalu, isteri saya telefon beritahu mahu berjumpa di salon tetapi apabila saya sampai, saya dapati dia datang bersama lelaki terbabit," katanya.
Bagaimanapun ujarnya, lelaki terbabit telah memecut keretanya dan saya bertindak mengejar mereka dengan menunggang motosikal kerana mahu menyelasaikan masalah yang berlaku.
Tambahnya, apabila sampai di lampu isyarat di jalan Rasah sebelum masuk ke Tol Port Dickson, kereta terbabit telah melanggarnya menyebabkan terjatuh.
"Saya bangun dan menjerit meminta berhenti, tetapi mereka tidak mengendahkannya dan cuba sekali lagi melanggar saya dengan mengundurkan kereta.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia tidak menyangka isteri yang dikahwini tujuh tahun itu sanggup bertindak begitu ditambah pula mereka tidak pernah ada masalah serius.
"Saya pun tak tahu sudah berapa lama mereka sebenarnya mempunyai hubungan, tetapi saya betul-betul terkilan kerana diperlakukan sebegini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan lelaki berkenaan pada Jumaat lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas kesalahan memikat perempuan yang bersuami dengan niat jahat.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Faizal di talian 013-3611854 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 06-6033222," katanya.