Cedera bukan halangan buat Qabil lakar kemenangan

Iklan
Zulfahmi (tengah) bersama Qabil (kiri) akan mewakili negara pada Siri Dunia MiniGP di Sepanyol bermula 21 hingga 23 November ini. Foto Bernama

SUKAN permotoran sememangnya tinggi dengan risiko kemalangan jiwa dan kecederaan serius, namun ia bukan penghalang buat pelumba cilik Qabil Irfan Azlan, yang mahu mencipta nama selaku jaguh dalam sukan itu.

Walaupun pernah terjatuh dan mengalami kecederaan beberapa kali, pelumba 11 tahun itu tetap berani mengharungi adrenalina dan keterujaan menunggang motosikal dengan laju.

Iklan
Iklan

"Saya pernah jatuh banyak kali, paling teruk ketika Siri MiniGP Malaysia Series di Litar Tangkak tahun lepas, apabila mengalami kecederaan dan bengkak," katanya yang sudah mula berlumba seawal usia empat tahun menggunakan pocket bike.

"Tetapi saya tidak trauma, dan kesakitan itu hanya sekejap sahaja. Bila dapat berlumba kembali, ia (kesakitan) dah tak rasa," kata pelumba dengan ketinggian 142cm itu ketika temu bual bersama Bernama di Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan

Qabil merupakan antara lima pelumba remaja yang akan mewakili negara pada Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol, bermula 21 hingga 23 November ini.

Siri dunia itu turut disertai oleh Muhammad Farish Hafiy, 15, yang akan menyertai Asia Talent Cup (ATC) 2023 Jumaat ini, bersama Farres Putra, 15, dan Emil Idhzar Ezuan, 16, bagi kategori 190cc, manakala Muhammad Airel Marzuki, 11, pula akan bersaing untuk kategori 160cc bersama Qabil.

Iklan

Qabil, yang bakal beraksi buat kali kedua di Siri Dunia selepas meraih tempat keempat keseluruhan tahun lepas, berasa teruja untuk kembali bersaing bersama pelumba dari negara-negara lain terutamanya Eropah dan yakin boleh mengekalkan momentum lebih baik daripada tahun lepas.

Sementara itu, bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin selaku jurulatih kepada bakat-bakat muda itu, berharap agar semua lima peserta pada kali ini dapat mempamerkan prestasi terbaik dan kedudukan podium sekiranya semua berjalan lancar.

"Saya harap semua pelumba dapat bagi saingan di kelompok hadapan dan memberi saingan untuk mendapatkan podium di salah satu perlumbaan, sama ada perlumbaan 1, 2 ataupun super final nanti," katanya.

Zulfahmi berkata, pihaknya juga tidak mahu meletakkan suatu sasaran yang sangat tinggi sehingga menyebabkan para pelumba rasa tekanan, sambil berkata kesemua mereka telah dipilih berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada lima pusingan MiniGP Malaysia anjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Siri Dunia MiniGP 2023 akan disertai pelumba motosikal dari yang beraksi cemerlang dalam 17 siri di negara masing-masing, yang terdiri daripada siri Australia, Austria, Kanada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Malaysia, Portugal, Qatar, Sepanyol, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Alpe Adria.

Siri Dunia MiniGP merupakan perlumbaan yang diperkenalkan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) pada 2021 sebagai langkah pertama dalam Road to MotoGP. Ia merangkumi dua kelas perlumbaan, iaitu 160cc untuk pelumba berusia 10-14 tahun dan 190cc untuk pelumba 12-16 tahun. - Bernama