Hanis Nazirul tangguh hasrat ke Olimpik

Iklan
Hanis Nazirul (kiri) dan Yan Yee mengungguli acara 3m papan anjal seirama campuran akhir pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil pada Isnin. Foto Bernama

SEDIKIT terlewat. Pertukaran daripada acara platform ke papan anjal sejak akhir Mei lepas, mungkin menyebabkan impian penerjun lelaki negara Hanis Nazirul Jayasurya untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi kelam.

Namun, keadaan itu tidak memadamkan semangat atlet berusia 22 tahun itu.

Iklan
Iklan

Sebaliknya Hanis berkata situasi itu menjadi peluang untuk dirinya menyahut cabaran baharu dan terus mengekalkan impiannya untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Secara realistiknya, ia agak sukar untuk saya layak ke Paris 2024. Namun perjalanan saya dalam sukan terjun masih jauh dan saya mahu layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028," katanya ketika ditemui di Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 di Kuala Lumpur pada Isnin.

Iklan

Penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui beliau masih memerlukan masa untuk sesuaikan diri dengan acara papan anjal, selepas bertanding dalam acara platform sejak tujuh tahun lepas.

"Sebab lain ialah bagi memberikan peluang kepada 'junior' saya di acara platform untuk naik, jika tidak mereka tidak akan maju ke depan," katanya.

Iklan

Pada ketika ini antara atlet terjun platform lelaki negara termasuklah Bertrand Rhodict Lises, yang telah pun layak ke Paris 2024 dan Enrique Maccartney Harold.

Sementara itu, Hanis Nazirul menyatakan kesediaannya kepada idea untuk berpasangan dengan Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama pada masa hadapan.

Perkara itu berkemungkinan selepas pasangan 'bidan terjun' itu muncul juara dalam acara 3m papan anjal seirama campuran, selepas mengumpulkan 262.80 mata, pada hari terakhir kejohanan itu yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Malaysia muncul juara keseluruhan pada kejohanan tiga hari dengan lima emas, tiga perak dan tiga gangsa, diikuti Sarawak (2-2-0) manakala Uzbekistan ketiga (2-1-1). - Bernama