Kertas siasatan Sanusi, ADUN Jengka diserah ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya

Iklan
Muhammad Sanusi, Shahril Azman

KUANTAN - Kertas siasatan terhadap dua ahli politik Pas berhubung kenyataan mereka sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong dekat sini, telah diserah ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Kertas siasatan itu melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Shahril Azman Abd Halim.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa berkata, kertas siasatan itu telah diserah pada minggu kedua Oktober.

Beliau berkata, polis secara keseluruhan telah merakam keterangan lima individu berkaitan siasatan terhadap Muhammad Sanusi termasuk menteri besar itu yang memberikan keterangan pada 7 Oktober lepas di Balai Polis Manchis di Bentong.

Iklan

Siasatan terhadap Muhammad Sanusi dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 dan Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, susulan kenyataannya pada sesi ceramah 22 September lepas, iaitu sehari sebelum hari penamaan calon bagi PRK DUN Pelangai.

Siasatan terhadap Shahril Azman juga dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 AKMM serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan selepas didakwa mengeluarkan sentimen 3R iaitu berkaitan isu agama, raja dan kaum, semasa berada di Felda Sungai Kemahal yang terletak dalam DUN Pelangai sebelum video berkaitan dimuat naik ke akaun TikTok beliau. - Bernama

Iklan