Pindah segera jika air mulai naik

Iklan
Abdul Wahab (dua dari kanan) pada sidang media selepas Majlis Lawatan Kerja Rasmi ke JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota pada Selasa.

KUANTAN - Penduduk yang menetap di kawasan berisiko banjir dinasihatkan mematuhi arahan agensi penyelamat untuk segera berpindah apabila air mulai naik.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, antara cabaran besar dihadapi pihaknya termasuklah berdepan dengan mangsa yang enggan berpindah walaupun kawasan atau kediaman mereka dinaiki air.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi terbabit menyukarkan tugas menyelamat terutamanya apabila berlaku peningkatan banjir pada waktu malam.

"Keadaan cuaca, taburan hujan yang tidak dapat ditentukan dan paling membimbangkan apabila hujan berlaku dan banjir meningkat pada waktu malam.

Iklan

"Ini kerana dari segi operasi penyelamatan agak sukar dan juga menimbulkan bahaya kerana kita tidak dapat nampak apa-apa pada jarak jauh jika ada sebarang halangan semasa kita meredah kawasan banjir ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Lawatan Kerja Rasmi ke JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Abdul Wahab turut menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2022, Pemakaian Tanda Pangkat (KUP) dan penyampaian Sijil Persaraan tahun 2023.

Seramai 77 individu menerima APC, 56 lagi dinaikkan kenaikan pangkat dalam pelbagai gred dan sembilan menerima sijil persaraan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan Monsun Timur Luat (MTL) dijangka bermula pada 11 November ini dan berterusan sehingga Mac 2024.

Mengulas lanjut Abdul Wahab memberitahu, pihak JBPM bersama agensi keselamatan lain sentiasa memujuk dan memberi penjelasan tentang risiko serta bahaya sekiranya mereka tidak berpindah awal.

Selain itu, katanya, penerangan dan nasihat turut diberikan agar mereka dapat menyediakan dokumen penting dan perkara asas untuk berpindah.

"Kita (minta) tekankan ahli keluarga yang (mempunyai) kanak-kanak, ibu sedang mengandung dan akan bersalin atau dalam keadaan kurang sihat sama ada sakit serius atau tidak, mereka ini wajib berpindah awal.

"Kalau boleh ikut setiap nasihat daripada agensi penyelamat terutamanya daripada jabatan bomba, bagi memastikan mereka berada di tempat selamat sekali gus mengelakkan sebarang kemungkinan," ujar beliau yang memaklumkan anggota dan pegawai JBPM sudah bersiap siaga untuk hadapi MTL.

Sementara itu, Abdul Wahab memaklumkan sebanyak lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu akan dibina di seluruh negara.

"Keseluruhan projek baharu menelan peruntukan sebanyak RM44.8 juta membabitkan BBP Johor Bahru Sentral (RM10juta); BBP Taiping, Perak (RM10juta); BBP Pulau Tioman, Pahang (RM8juta), BBP Kuarters Sungai Asap, Sarawak (RM8.4juta) dan BBP Kuarters Telupit, Sabah (RM8.4juta)," katanya.

Bagi Pahang pula katanya, pembinaan sebanyak empat balai iaitu BBP Pulau Tioman, BBP Gohtong Jaya, BBP Sungai Lembing dan BBP Benta telah diluluskan menerusi Rolling Plan 4 (RP4) (RMK12) bagi tahun hadapan.