SHAH ALAM - Tocotrienol merupakan salah satu kandungan dalam minyak kelapa sawit yang didapati berkesan meningkatkan kesuburan Harimau Malaya.
Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Tuan Nazuri Tuan Ismail berkata, hasil ujian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) mendapati bahan tersebut berupaya menambah pengeluaran air mani serta meningkatkan kualiti sperma.
Menurutnya, sampel air mani tersebut diambil daripada tiga harimau jantan yang terlibat dalam Program Konservasi Harimau Malaya.
"Tocotrienol digaul bersama makanan tambahan dan diberi kepada Harimau Malaya jantan dewasa bagi meningkatkan kesuburan.
"Pihak industri sawit Malaysia melalui MPOGCF menaja RM3 juta program konservasi untuk lima tahun termasuk membiayai pembelian Tocotrienol ini. Program ini juga turut ditaja Sime Darby Oil Nutrition,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujar Tuan Nazuri, program konservasi itu telah bermula sejak 2021, namun belum berjaya menambah kelahiran baharu Harimau Malaya.
Jelasnya, tajaan program konservasi tersebut merupakan inisiatif MPOGCF untuk mengukuhkan jenama minyak sawit Malaysia dan memacu ekonomi lebih mampan di peringkat global.
"Tocotrienol adalah usaha kita dan Perhilitan menambah kesuburan Harimau Malaya jantan untuk mencapai objektif program ini,” ulasnya.