PUTRAJAYA - Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan 2.8 peratus kepada jumlah 110,354 kelahiran pada suku ketiga tahun ini berbanding 113,506 kelahiran dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut Perangkaan Demografi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) pada Selasa.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan pada Selasa berkata, jumlah kelahiran bayi lelaki melebihi perempuan dengan 57,260 kelahiran berbanding 53,094 kelahiran bayi perempuan.
"Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 20,648 kelahiran, manakala Labuan merekodkan jumlah terendah dengan 375 kelahiran," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, 46,646 kematian direkodkan pada suku ketiga 2023, penurunan 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 51,841 kematian.
"Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 7,217 kematian manakala Putrajaya terendah dengan 72 kematian,” katanya.
Dari segi umur, katanya, bilangan kematian umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 32,417 kematian (69.5 peratus), diikuti oleh umur 41-59 tahun (20.8 peratus), umur 15-40 tahun (7.2 peratus) dan umur 0-14 tahun (2.5 peratus).
Mohd Uzir berkata, penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga tahun ini dianggarkan 33.5 juta, meningkat 1.8 peratus berbanding suku tahun ketiga 2022 (32.9 juta).
Penduduk lelaki meningkat daripada 17.2 juta kepada 17.5 juta manakala perempuan meningkat daripada 15.7 juta kepada 16 juta bagi tempoh yang sama. - Bernama