SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Bau busuk yang secara tiba-tiba melanda kawasan sekitar Batu 4, Mantin awal pagi tadi akhirnya terjawab selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Seremban menemui tumpahan minyak dipercayai bahan kimia di dalam anak sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam pada jam 5 pagi tadi, sepasukan enam anggota telah dikerahkan dan tiba ke lokasi kejadian setengah jam kemudian.
"Ketika tiba di lokasi berkenaan, didapati terdapat tompokan minyak dan beberapa ekor ikan mati di dalam sungai tersebut. Selain itu, bacaan nilai PH air yang dilakukan di sungai berkenaan mendapati ia berada pada paras 5.8,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Susulan penemuan tompokan yang dipercayai bahan kimia itu, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 turut digerakkan membabitkan 10 anggota.
"Mereka telah dikerahkan ke lokasi bagi mengambil sampel bahan berkenaan untuk dibawa ke makmal Jabatan Alam Sekitar untuk dianalisis," katanya.
Sementara itu, kerja-kerja pembersihan bahan kimia berkenaan kini sedang giat dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan.
"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Sharifah Zakiah Syed Sahab ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, sampel bahan tersebut telah diambil untuk dianalisis.
"Siasatan awal mendapati bahan tersebut adalah sisa daripada buangan terjadual. Dalam pada itu, agensi lain serta pihak berkuasa negeri telah dimaklumkan untuk masing-masing turut mengambil tindakan bagi mengelakkan buangan ini mengalir masuk ke loji rawatan air.
"Keadaan kawasan sekitar Batu 4, Jalan Mantin-Seremban setakat ini terkawal memandangkan bau dan ujian nilai pH air sungai berkenaan sudah mulai normal...cuma langkah awal perlu diambil bagi menghalang buangan tersebut daripada masuk ke aliran Sungai Linggi yang terdapat loji rawatan air,” katanya.
Beliau dalam pada itu, menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai tersebut supaya tidak menghampiri atau membawa ternakan ke kawasan tersebut buat masa ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan dengan segera.
"Saya juga meminta orang ramai yang ternampak lori tangki atau lori yang membawa tong drum yang mencurigakan masuk ke kawasan yang tidak sepatutnya seperti tebing sungai, tasik dan kawasan terpencil supaya menghubungi pejabat JAS yang berhampiran.
"Di samping itu, ambil maklumat yang penting seperti nombor pendaftaran lori, jenis lori dan sebagainya. Kalau boleh ambil juga gambar untuk mendapatkan butiran pada badan lori seperti nama syarikat dan juga nombor pendaftaran lori," katanya. - Bernama