'Ini senario biasa di Langkawi setiap tahun' - ADUN Kuah

Iklan
Amar Pared (gambar kecil) menafikan dakwaan berlaku kemerosotan kemasukan pelancong di Langkawi, sebaliknya ia merupakan perkara biasa yang berlaku setiap tahun. - Foto 123RF (Gambar kecil: Amar Pared)

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud menafikan dakwaan berlaku kemerosotan kemasukan pelancong di Langkawi, sebaliknya ia merupakan perkara biasa yang berlaku setiap tahun.

Jelas beliau, dakwaan pihak luar yang menyifatkan Langkawi kini bukan pilihan pelancong domestik mahupun antarabangsa juga adalah tidak tepat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kehadiran pelancong ke pulau legenda dipengaruhi pelbagai faktor termasuk perubahan empat musim yang terdapat di pulau berkenaan sepanjang tahun.

"Sebelum buat tuduhan melulu, fahami terlebih dahulu perkara asas.

Iklan

"Di Langkawi terdapat empat musim dikenali musim hujan (tengkujuh), musim panas (kemarau), musim ‘low season’ dan musim ‘peak season’.

"Kebiasaan pada musim tengkujuh dan kemarau, kehadiran pelancong memang kurang.

Iklan

"Lazimnya pulau ini dibanjiri pelancong tempatan dan luar negara pada musim perayaan atau cuti persekolahan yang dikenali ‘peak season’,” katanya di sini pada Selasa.

Amar Pared berkata, kekurangan pelancong di pulau legenda buat masa ini adalah disebabkan sekarang merupakan ‘low season’ yang merujuk kepada bukan musim cuti perayaan atau persekolahan.

"Ini senario biasa di Langkawi setiap tahun, kalau musim cuti memang dibanjiri pengunjung khususnya bermula hujung November hingga Januari.

"Saya percaya menjelang musim perayaan minggu depan (cuti Deepavali) kemasukan pelancong akan meningkat, buktinya tempahan feri ke pulau ini hampir penuh.

"Dalam tempoh seminggu (6 hingga 13 November), beberapa trip pergi balik feri sudah habis ditempah setakat hari ini (Selasa),” katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga wajar memberi tumpuan dalam merancakkan sektor pelancongan di Langkawi, bukan diserahkan bawah tanggungjawab negeri semata-mata.

"Sebagai contoh, baru-baru ini kita disajikan dengan dakwaan tidak benar konon pelancong ke Langkawi tidak boleh pakai seluar pendek, dakwaan seperti itu menjejaskan imej Langkawi dan dibimbangi pelancong luar terpengaruh dengan berita tersebut.

"Menteri Pelancongan sepatutnya turun padang dan tinjau keadaan di Langkawi untuk dapatkan gambaran sebenar, selain dapatkan input untuk kembangkan lagi promosi ke luar negara,” jelasnya.

Menurutnya, isu yang berlarutan membabitkan Kementerian Pengangkutan juga harus ditangani secepat mungkin.

"Beberapa isu berbangkit masih belum selesai terutama perkhidmatan feri, apa yang dijanjikan sebelum Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023) belum menampakkan hasil, sedangkan sudah masuk bulan November,” ujarnya.

Amar Pared juga berharap Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan untuk memperbanyakkan penerbangan terus ke Langkawi dengan menyediakan pakej menarik.

"Saya juga dimaklumkan oleh pemain industri pelancongan di Langkawi, mereka agak kecewa dengan pengumuman Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerana seolah-olah Langkawi dianaktirikan kerajaan Persekutuan.

"Tiada inisiatif atau insentif pelancongan diumumkan untuk bantu pemain industri di Langkawi,” jelasnya lagi.