Ketua Bahagian Warisan Kalabakan, Sarifuddin Hata mendakwa, aktiviti perlombongan emas di kawasan itu masih berterusan walaupun tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Menurutnya, aktiviti perlombongan itu menimbulkan kebimbangan kepada penduduk setempat daripada aspek kestabilan tanah dan keselamatan kawasan serta pencemaran alam sekitar.
"Adakah syarikat melombong itu mendapat kebenaran daripada Pejabat Hasil Bumi atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk terus menjalankan aktiviti melombong di Bukit Mantri walaupun tiada kelulusan daripada JMG?
"Sehingga kini kerja perlombongan masih berlaku, maka kerajaan negeri mesti beri penjelasan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau membuat kenyataan itu susulan daripada Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) yang dikeluarkan JMG kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah bahawa syarikat yang melaksanakan aktiviti itu telah tamat pada 29 Ogos lalu.
Bagaimanapun, pihak JMG tidak menerima sebarang permohonan baharu daripada syarikat tersebut untuk aktiviti perlombongan.
Dakwanya lagi, satu surat yang dikeluarkan JMG kepada sebuah anak syarikat memaklumkan bahawa permohonan SKSPM syarikat itu tidak dipertimbangkan kelulusan sehingga mereka mengemukakan semula cadangan Skim Pengendalian Melombong untuk pertimbangan jawatankuasa terbabit.
Selain permohonan baharu SKSPM, mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan surat kelulusan Penilaian lmpak Alam Sekitar (EIA) dan dokumen-dokumen kebenaran menduduki kawasan selain dari lot hak milik syarikat di kawasan itu.
Sarifuddin berkata, jika kawasan itu mempunyai emas yang banyak dan kerajaan negeri ingin memajukannya, perkara itu perlu dilihat dari pelbagai sudut dan kajian harus dibuat terlebih dahulu demi kepentingan penduduk di kawasan Balung.
"Kita harus letak kepentingan rakyat terlebih dahulu dan jaga alam sekitar. Pastikan kaedah perlombongan yang selamat. Jangan pula guna kaedah sianida," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu tindakan yang tegas dan segera diambil untuk mengelak aktiviti perlombongan terus merebak dan boleh mengakibatkan bencana besar serta menjejaskan keselamatan rakyat.