Ireland-Malaysia perkukuh perdagangan agromakanan

Iklan
Mohamad (kiri) ketika menerima kunjungan Martin Heydon di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, pada Isnin. - Foto Facebook KPKM

KUALA LUMPUR - Ireland berhasrat untuk terus memperkukuhkan perdagangan dua hala dengan Malaysia dalam bidang agromakanan terutamanya yang berkaitan pengeksportan daging dan produk daging itik.

Perkara itu adalah di antara inti pati kunjungan hormat Menteri Pertanian dan Marin Ireland, Martin Heydon ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang berlangsung di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini, pada Isnin.

Iklan
Iklan

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, pertemuan di antara kedua-dua pemimpin itu adalah yang pertama kali diadakan dan menjadi platform bagi membincangkan cadangan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian dan industri makanan.

"Kedua-dua negara turut berhasrat meneruskan kerjasama erat dalam bidang penyelidikan dan pembangunan dalam sektor pertanian bagi mencapai sasaran keterjaminan makanan serta meningkatkan perdagangan pertanian dua hala termasuk produk-produk perikanan seperti tiram dan udang karang,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Katanya, pada 2022 jumlah dagangan di antara Malaysia dan Ireland adalah sebanyak RM419.35 juta berbanding RM425.15 juta pada 2021.

Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, jumlah nilai dagangan merekodkan trend peningkatan iaitu sebanyak RM429.45 juta.

Iklan

Dalam pertemuan itu juga, Mohamad turut menjemput Ireland untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2024 (MAHA 2024) pada tahun hadapan bagi mempromosikan produk-produk pertanian dan agromakanan.

Pertemuan kedua-dua menteri berkenaan turut disertai wakil daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pegawai-pegawai kanan KPKM. - Bernama