BAITULMUQADDIS - Ketika serangan Israel ke atas Gaza memasuki sebulan, kebanyakan hospital dan pusat penjagaan kesihatan terpaksa menutup operasi disebabkan dibom atau akibat kekurangan bahan api dan bekalan perubatan.
Tentera penceroboh Israel melakukan sekurang-kurangnya 102 serangan ke atas pusat penjagaan kesihatan sejak tercetusnya pertempuran di wilayah yang dikepung pada 7 Oktober, lapor Agensi Anadolu memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
WHO berkata, serangan itu mengakibatkan 504 maut, 459 cedera, kerosakan pada 39 kemudahan dan menjejaskan 31 ambulans.
Agensi kesihatan PBB itu juga menggesa 'orang awam dan pusat penjagaan kesihatan dilindungi'.
Menurut pejabat media Gaza, hanya 18 hospital yang masih beroperasi tetapi dalam keadaan yang sangat sukar akibat kehabisan bahan api dan bekalan perubatan.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober.
Sekurang-kurangnya 10,022 rakyat Palestin, termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita, terbunuh sejak itu. - Bernama