Hadiah lebih RM250,000 menanti kaki pancing di Pantai Puteri

Iklan
Juhari (kanan) bakal menyempurnakan pelepasan ikan sempena Tourism Malaysia Surfcasting Tour…A Journey To Visit Malaysia 2020 di Pantai Puteri Ahad ini.

MELAKA TENGAH - Hadiah bernilai lebih RM250,000 bakal menjadi rebutan pemancing pada siri akhir Tourism Malaysia Surfcasting Tour...A Journey To Visit Malaysia 2020 di Pantai Puteri di sini Ahad ini.

Pertandingan anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management itu bertujuan mempromosikan lokasi pelancongan menarik seluruh negara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Iklan
Iklan

Tourism Malaysia Surfcasting Tour...A Journey To Visit Malaysia 2020 menawarkan hadiah wang tunai RM70,000 untuk juara, kedua menerima RM12,000 dan ketiga membawa pulang RM5,000.

Pemenang keempat bakal menerima RM1,000, kelima RM700, keenam hingga ke-10 membawa pulang RM450 manakala RM300 akan diberikan kepada pemenang ke-11 hingga 100.

Iklan

Pertandingan siri akhir itu bakal menyaksikan juara keseluruhan yang mengumpul mata tertinggi daripada 10 pusingan memandu pulang sebuah kereta Perodua Myvi bernilai RM45,000.

Naib juara akan memenangi Perodua Bezza bernilai RM42,000 dan tempat ketiga pula menerima Perodua Axia bernilai RM32,000.

Iklan

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Juhari Osman berkata, pertandingan itu bakal memberi manfaat kepada penduduk tempatan terutamanya peniaga makanan dan pemilik homestay.

"Homestay di sekitar Pantai Puteri hampir penuh. Hotel-hotel di sekitar pantai juga menerima tempahan yang banyak. Peniaga makanan semua dah maklum mengenai acara ini dan mereka sudah bersedia dengan bekalan yang perlu.

"Ini berita yang baik untuk penduduk Pantai Puteri. Acara seperti ini memberikan manfaat yang besar kepada penduduk sekitar,’’ katanya.

Beliau berkata, bagi menarik lebih ramai peserta, penganjur menambah hadiah cabutan bertuah untuk peserta.

Katanya, ia termasuk sebuah motosikal Modenas Kriss, seunit televisyen LED 55 inci, LED 50 inci, LED 42 inci dan dua unit LED 32 inci selain hamper serta barangan Igloo.

Juhari berkata, pertandingan memancing adalah acara yang mendapat sambutan semua lapisan masyarakat dan mampu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan.

Pertandingan siri akhir ini akan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari berdasarkan kepada carta air pasang surut serta kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 12 tengah hari Sabtu ini.

Yuran penyertaan ialah RM80 untuk satu joran dan untuk menghargai sokongan warga emas, peserta berusia 60 hingga 65 tahun diberi diskaun penyertaan 25 peratus atau RM60 untuk satu joran manakala peserta berusia 65 tahun ke atas diberikan diskaun 50 peratus dan mereka hanya perlu membayar RM40.

Kawasan memancing ditetapkan sepanjang 2.5 kilometer dan pertandingan adalah berasaskan ikan terberat dengan beberapa spesies ikan tidak dipertandingkan seperti todak, sesirat dan kerapu.

Sebarang pertanyaan mengenai acara itu boleh menghubungi talian 019-6203040, 012-2141401 dan 012-6823479.