YALA - Seekor harimau Malaya yang berasal dari Semenanjung Malaysia berjaya dikesan di Taman Negara Bang Lang di Yala, selatan Thailand.
Penemuan subspesies hanya didapati di wilayah sempadan selatan Thailand dan Malaysia telah dilaporkan oleh Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan (DNP) dalam laman akaun rasmi Facebook mereka.
Iklan
Iklan
Difahamkan, Taman Negara Bang Lang dan Santuari Hidupan Liar Hala-Bala merupakan satu-satunya dua lokasi di Thailand di mana harimau Malaya dikesan.
Penemuan harimau yang dikenali sebagai Bang Lang 01, dilakukan oleh sistem Smart Patrol iaitu sistem pengesanan dan pemantauan inovatif digunakan untuk melindungi hidupan liar dan mencegah sebarang ancaman terhadap hutan dilindungi.
Sistem Smart Patrol dan penggunaan kamera perangkap adalah penting untuk membantu menggubal strategi penting memulihara hidupan liar.
"Penampakan harimau jarang ditemui ini telah mencetuskan minat baharu terhadap habitat harimau Malaya, sekali gus menekankan kepentingan menjaga kelangsungan spesies ini.
"Selain itu, ia berfungsi sebagai 'peringatan kuat' kepada khazanah tersembunyi yang terdapat di hutan belantara Thailand dan keperluan memuliharanya demi generasi masa depan," menurut kenyataan DNP. - Agensi