MELAKA - Gara-gara mengelak dari dicekup, seorang wanita warga Thailand sanggup membahayakan diri dengan terjun dari tingkat tiga sebuah hotel bajet di Taman Melaka Raya, di sini, petang Isnin.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, bagaimanapun tindakan wanita berusia 27 tahun yang terjun melalui tingkap hanya sia-sia selepas berjaya ditahan dalam Op Gegar yang bermula jam 6 petang itu.
Menurutnya, wanita terbabit cuba melarikan diri dalam keadaan berkaki ayam bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung aktiviti seks yang ditawarkan oleh warga asing di kawasan dengan bayaran RM250 sehingga RM350 mengikut pakej.
"Namun hanya lapan wanita warga Thailand, dua dari Indonesia dan masing-masing satu Vietnam serta Laos telah ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, dalam operasi itu juga seramai 17 individu berusia antara 25 sehingga 35 tahun telah diperiksa termasuk dua lelaki tempatan yang menjadi pelanggan.
"Turut dirampas beberapa buku rekod pelanggan, kondom, pil pencegah hamil dan peralatan lain yang digunakan bagi tujuan seks," ujarnya.
Jelas beliau, sebanyak lima saman telah dikeluarkan ke atas pengurus hotel serta pelanggan untuk hadir ke Pejabat Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Melaka bagi membantu siasatan lanjut.
"Kesemua wanita yang ditahan dibawa ke lokap Pejabat Bahagian Penguat Kuasa JIM di Ayer Keroh dan siasatan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," ujarnya lagi.