Segerakan gerak kerja tangani bencana banjir

Iklan
Gambar hiasan

MENJELANG sahaja November, tumpuan negara sudah tentu kepada musim banjir yang biasanya berlaku setiap hujung tahun.

Kebelakangan ini, cuaca khususnya di ibu negara tidak menentu yang menyaksikan hujan lebat pada sebelah petang, malah berlarutan berjam-jam sehingga mengakibatkan air naik di beberapa kawasan.

Sudah tentu ia menimbulkan kebimbangan masyarakat terutama penduduk di lokasi berisiko tinggi.

Iklan
Iklan

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah baru-baru ini bagaimanapun meramalkan banjir besar seperti yang berlaku pada penghujung tahun 2021 di negara ini tidak akan berulang pada tahun ini ketika memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula Disember hingga Februari depan.

Ujar beliau, menghampiri musim berkenaan, negara akan mengalami hujan lebat lebih kerap pada sebelah petang.

Iklan

Pada 23 Oktober, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca susulan jangkaan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula bulan depan hingga Mac 2024 berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Dr Fariza Yunus berkata, perubahan cuaca itu berlaku disebabkan Monsun Timur Laut (MTL).

Iklan

Semasa tempoh itu, beliau berkata, episod hujan lebat diramal berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula November hingga Disember, sebelum beralih ke Johor dan Sarawak pada Disember hingga Januari 2024.

Meskipun pakar meramalkan banjir pada tahun ini mungkin tidak seteruk tahun 2021, namun orang ramai sudah tentu masih trauma mengenangkan tragedi tersebut yang melanda beberapa kawasan termasuk di Shah Alam.

Malah ketika ini fenomena banjir sudah berlaku di beberapa buah negeri termasuk Kedah, Johor dan Perak, seolah-olah menandakan permulaan kepada episod banjir kilat tidak lama lagi.

Justeru, orang ramai sewajarnya tidak boleh memandang enteng berhubung isu hujan lebat dan banjir di negara ini.

Perlu diingatkan bahawa hujan lebat yang kerap boleh mengundang kepada bencana besar lain seperti tragedi Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu yang mengorbankan 31 mangsa.

Di samping itu, banjir yang berlaku pada tahun lalu juga dilihat teruk susulan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 23 Februari lalu bahawa Malaysia mengalami kerugian RM622.4 juta akibat banjir di seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pada tahun lalu berbanding RM6.1 bilion tahun sebelumnya.

Dalam laporan Khas Mengenai Kesan Banjir di Malaysia 2022, jabatan tersebut memaklumkan bahawa kerugian RM622.4 juta tahun lalu bersamaan 0.03 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut jabatan itu, kajian berkenaan bertujuan untuk menilai jumlah kerugian dan kerosakan akibat banjir tahun lalu termasuk nilai kerosakan aset dan infrastruktur awam, tempat tinggal, kenderaan, perniagaan dan premis industri.

Oleh itu, tumpuan yang perlu diutamakan pada ketika ini ialah persiapan pihak berkuasa dalam menghadapi fenomena banjir tahun ini dan membantu mangsa-mangsa.

Lebih penting, keutamaan perancangan dari segi gerak kerja dan usaha menyalurkan bantuan-bantuan kepada mangsa perlu disegerakan.

Pada 13 Oktober lalu, media melaporkan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai persiapan menghadapi banjir.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani.

Kata beliau, peruntukan itu termasuk RM100 juta yang bakal disalurkan segera selepas pembentangan belanjawan itu, menggunakan peruntukan 2023 bagi memastikan kelancaran persediaan menghadapi bencana itu hujung tahun ini.

Bukan itu sahaja, ulas Anwar yang juga Menteri Kewangan, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah meletakkan jumlah peruntukan yang besar bagi membiayai projek tebatan banjir iaitu mencecah RM22 bilion.

Semoga langkah kerajaan tersebut dapat menyelesaikan atau setidak-tidaknya mengurangkan masalah akibat banjir di negara ini pada masa-masa akan datang.

* Mukhriz Mat Husin ialah Wartawan Sinar Harian