JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyifatkan cadangan supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bergabung semula sebagai syok sendiri.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, perkara berkenaan tidak perlu dilayan selain turut menyifatkan individu yang memberi cadangan itu sebagai buta sejarah.
"Ada cadangan Najib dan Muhyiddin bergabung. Kononnya Malaysia tambah hebat. Tanyalah Muhyiddin. Mahukah dia?
"Individu yang mencadangkan itu buta sejarah. Najib pernah sokong Muhyiddin jadi PM kelapan. Dia tikam belakang. Dia mahu bunuh UMNO macam di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Muhyiddin tolak sertai Kerajaan Perpaduan. Dia mahu tebuk atap. Maka macam mana mahu wujud Malaysia lebih hebat?” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa.
Tambah Mohd Puad yang juga ADUN Rengit, UMNO dan Bersatu berebut penyokong atau segmen yang sama, maka parti pimpinan Muhyiddin itu boleh ‘hidup’ sekiranya UMNO mati.
"UMNO dan Bersatu bersaing untuk kumpulan sasar yang sama. Sebab itu Bersatu kena bunuh UMNO untuk hidup. Mudah berkawan dengan Parti Keadilan Rakyat (PRK) kerana kumpulan sasar mereka berbeza," katanya.
Sebelum ini, penyokong Najib atau dikenali sebagai ‘Bossku’ meletakkan harapan agar kedua-dua bekas Perdana Menteri itu membuka lembaran baharu dan bergerak bersama demi negara serta rakyat.
Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berpandangan, Malaysia akan lebih hebat jika Najib dan Muhyiddin bersatu ketika rakyat sedang berdepan masalah ekonomi dan kos sara hidup.
Beliau menyuarakan perkara itu selepas Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendoakan kesembuhan Najib yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat Covid-19, baru-baru ini.
Kenyataan itu seolah-olah menunjukkan kedua-dua bekas pemimpin nombor satu negara itu seperti mahu 'memperbaiki hubungan' mereka.
Kemas kini yang dimuat naik Ahli Parlimen Pagoh itu menerima pelbagai reaksi positif daripada pengikut laman sosialnya, yang antaranya turut memuji sikap Muhyiddin yang prihatin terhadap Najib.
Selain itu, ada juga yang berhadap agar dua bekas Perdana Menteri itu seia-sekata dalam membangunkan bangsa dan negara.
Najib kini sudah 14 bulan menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.