TELUK INTAN - Kesukaran berkomunikasi dengan mangsa kebakaran yang pekak beberapa tahun lalu menjadi inspirasi kepada seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak untuk belajar bahasa isyarat.
Abidul Hazman Adam, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan berkata, minat itu menjadikan dia tekad untuk mendalami bahasa isyarat menerusi buku dan video di media sosial sejak dua tahun lalu.
"Minat timbul kerana saya suka melihat gaya tangan golongan orang kurang upaya (OKU) berborak sesama mereka ditambah dengan insiden kebakaran melibatkan pasangan pekak yang menyukarkan untuk mendapat maklumat tepat punca kejadian.
"Saya tekad mencari sekolah Pendidikan Khas untuk pelajar pekak.
"Sebelum itu saya mencari buku BIM (Bahasa Isyarat Malaysia), namun tidak dijual dan akhirnya ada seorang guru yang meminjamkan saya buku itu.
"Daripada itu, saya belajar asas ABC dan kalau berbual, saya akan eja perkataan.
"TikTok menjadi medium saya belajar secara langsung dengan mereka sambil membina ayat sedikit demi sedikit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Menurut Abidul Hazman, kelebihan itu dimanfaatkan sebaiknya apabila dapat membantu insan istimewa yang mengunjungi Karnival Keselamatan Kebakaran di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya minggu lalu.
Dia yang juga ahli Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) tidak menyangka video yang diambil rakan setugas itu tular di TikTok.
"Saya sempat melayan mereka sebelum menyertai ahli lain membuat pertunjukan Pasukan Khas di hadapan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin.
"Saya gembira dapat menyampaikan maklumat kepada kumpulan ini dan pada masa sama, menerima reaksi positif daripada warga maya," katanya.
Ahli Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) itu berpendapat bahawa penggunaan bahasa isyarat itu boleh diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat.
"Saya sendiri teruja untuk berkomunikasi dengan mereka dan penguasaan bahasa isyarat ini boleh digunakan dalam operasi dan kehidupan seharian.
"Sebagai penyelam, kita akan guna bahasa isyarat ketika berkomunikasi dalam air atau di lokasi tiada rangkaian telefon," katanya.
Tambah Abidul Hazman, walaupun menerima permintaan untuk buka kelas, namun beliau menyifatkan dirinya 'budak baru belajar' dan masih belum mahir sepenuhnya.