Iltizam AIS bantu asnaf keluar dari kepompong kemiskinan

Iklan

Alliance Islamic Bank (AIS) ialah bank pertama di Malaysia yang memperkenalkan konsep pengagihan dana zakat secara produktif dalam bentuk pembiayaan mikro. Matlamat konsep pengagihan baru ini ialah untuk membantu mereka yang kurang mendapat perhatian dan perkhidmatan kewangan. Ianya juga bertujuan membangunkan modal dana social yang menjana impak positif kepada ekonomi Islam.

Iklan
Iklan

AIS menyediakan akses pembiayaan mikro Zakat secara patuh Syariah sebagai satu inisiatif untuk mendukung agenda keterangkuman kewangan, membantu mengurangkan kemiskinan dan memacu pembangunan ekonomi dan sosial di kalangan asnaf.

Ikuti wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Ketua Pegawai Eksekutif AIS, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim, di mana beliau menjelaskan secara lebih mendalam tentang Program Pembiayaan Mikro Zakat.

Iklan

SINAR HARIAN: Dalam perubahan dunia ke arah pengurusan berkonsepkan digitalisasi, bagaimana AIS beradaptasi dengan perkembangan teknologi itu terutamanya dalam memudahkan urusan pelanggan?

RIZAL IL-EHZAN: Dalam usaha memudahkan urusan pelanggan, AIS telah mengembangkan penyelesaian perbankan berasaskan teknologi. Ini meliputi platform perbankan internet dan aplikasi perbankan mudah alih di mana pengguna boleh berurusan secara digital.

Iklan

Sebagai contoh, allianceonline Mobile membolehkan pelanggan untuk melakukan pelbagai urus niaga perbankan secara mudah, termasuk pembukaan akaun, permohonan pembiayaan peribadi dan pembiayaan perniagaan.

AIS merupakan antara institusi perbankan terawal yang menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan perbankan digital termasuklah:

1.Pembukaan akaun semasa atas talian

2.Permohonan pinjaman Peribadi atas talian

3.Pembiayaan Perumahan atas talian

4.Pembiayaan Digital PKS seperti Alliance Digital SME

5.Simpanan Tetap Elektronik

Selain itu, digitalisasi adalah salah sebuah pemangkin untuk pembangunan kaedah pembiayaan sosial. Di sini, satu lagi usaha AIS iaitu SocioBiz yang merupakan platform pembiayaan sosial bertujuan untuk memperkasakan komuniti melalui keusahawanan.

Sedekah yang dikumpul melalui platform dalam talian disalurkan sebagai modal kepada usahawan bagi memulakan atau untuk mengembangkan perniagaan mereka, atau mempelajari kemahiran baharu yang membolehkan mata pencarian yang mampan.

Apakah penerangan ringkas dan padat yang boleh diberikan bagi memudahkan pemahaman awam tentang Zakat dan Pembiayaan Mikro yang diperkenalkan oleh AIS?

RIZAL IL-EHZAN: Zakat merupakan suatu inovasi yang diperkenalkan oleh AIS untuk membantu golongan asnaf yang ingin keluar dari belenggu kemiskinan melalui keusahawanan dan perniagaan.

Zakat diagihkan dalam bentuk pembiayaan mikro untuk memberi akses modal kepada segmen usahawan yang digelar ‘unbankable’ atau ‘pre-bankable’ iaitu individu-individu yang menghadapi cabaran dalam mendapatkan modal kerana mereka tidak memenuhi syarat kredit yang tertentu untuk memperoleh perkhidmatan kewangan. Pada masa yang sama, latihan akan dikendalikan untuk usahawan tersebut untuk melahirkan disiplin kewangan.

Model ini telah diluluskan oleh Majlis Fatwa Selangor dan akan dilaksanakan bersama-sama dengan rakan kerjasama yang berpengalaman.

Pembiayaan mikro zakat pertama kali diperkenalkan di Malaysia dan dibincangkan di dalam buku terbitan AIS bertajuk,"Zakat dan Pembiayaan Mikro”. Buku tersebut adalah hasil kerjasama penyelidikan dengan pakar-pakar bidang termasuk para penyelidik dengan pengkhususan dalam pembiayaan sosial dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

RIZAL IL-EHZAN

Mekanisme mikro pembiayaan menggunakan zakat adalah seperti berikut:

1.Pertama sekali, AIS memperuntukkan dana zakat wakalah untuk pembiayaan.

2,.Dana akan disalurkan dalam bentuk pembiayaan mikro kepada usahawan asnaf menggunakan konsep Qard. Qard adalah bentuk pembiayaan tanpa faedah yang memberikan pinjaman kepada penerima tanpa mengenakan caj tambahan.

3.Melalui konsep ini, usahawan asnaf dapat memanfaatkan dana zakat untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka yang sedia ada.

4.Setelah menjana pendapatan melalui perniagaan mereka, usahawan mikro asnaf membayar balik pembiayaan secara ansuran.

5.Dana zakat diagihkan semula dalam bentuk pembiayaan mikro kepada penerima lain yang berkelayakan. Melalui cara ini, pembiayaan zakat digunakan secara berkali-kali dan memberikan manfaat yang berganda dan berterusan kepada komuniti usahawan asnaf.

Diagram berikut memberikan ilustrasi bagaimana program pembiayaan mikro zakat berfungsi.

Bagaimanakah program Zakat dan Pembiayaan Mikro yang dipelopori AIS ini boleh memberi manfaat besar dalam pembangunan ekonomi golongan asnaf khasnya dan umat Islam amnya?

RIZAL IL-EHZAN: Zakat telah berperanan sejak sekian lama membantu golongan asnaf sama ada dari segi memenuhi keperluan asas atau untuk memberi bantuan modal kepada asnaf yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Ia mampu memulihkan keseimbangan ekonomi melalui pengagihan kekayaan yang saksama. Apabila zakat diinstitusikan dengan berkesan dalam sesebuah komuniti, ia dapat menjamin integriti sosial dan Ekonomi.

Program ini memberi tiga manfaat utama iaitu:

1.Meningkatkan ekonomi golongan asnaf melalui keusahawanan dan perniagaan. Ini memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan pendapatan dan pengutuhan status / kedudukan kewangan.

2.Membentuk golongan asnaf yang menjadi pelapis dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara, lantas menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kebolehkerjaan.

3.Mendorong sistem kewangan sosial progresif yang mampu menjana kesaksamaan ekonomi dan sosial serta memastikan akses yang lebih luas kepada pembiayaan dan sokongan modal kepada golongan asnaf untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Ia juga merapatkan silaturahim serta jurang ekonomi di antara ahli masyarakat lantas meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Bila zakat digunakan sebagai instrumen kewangan sosial, ianya mampu menggandakan impak dana zakat tersebut.

AIS berikhtiar dan kekal komited untuk bekerjasama dengan lebih ramai pakar untuk menyumbang kepada pemerkasaan kewangan golongan terdedah melalui inovasi dan penggunaan model pembiayaan sosial. Ini hanya merupakan titik permulaan untuk pembangunan kewangan sosial.

Bagaimana pula institusi-institusi zakat yang berkolaborasi dengan AIS mendapatkan manfaat yang besar melalui program Zakat dan Pembiayaan Mikro ini?

Rakyat Malaysia kini berhadapan dengan ketidakstabilan ekonomi dan inflasi akibat pandemik COVID-19. Jumlah individu miskin di negeri Selangor sahaja kini dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya setengah juta orang menjelang tahun 2030.

Oleh itu, AIS ingin membantu golongan B40 khususnya golongan asnaf untuk mendapatkan dana bagi memulai atau mengembangkan perniagaan mereka sambil meringankan beban institusi zakat.

Di samping itu, AIS akan melantik rakan pelaksana berdasarkan keupayaan, kepakaran dan pengalaman mereka dalam membantu segmen sasaran. Selain itu, rakan pelaksana tersebut hendaklah menunjukkan rekod prestasi yang baik dalam usaha menyokong usahawan mikro asnaf dan membantu meningkatkan keberdayaan ekonomi mereka.

Melalui kolaborasi ini, rakan pelaksana juga mempunyai peluang untuk memperluas impak dan jangkauannya dalam memberikan bantuan dan sokongan kepada lebih banyak golongan B40 khususnya golongan asnaf.

Mungkin akan ada segelintir pihak yang mempersoalkan konsep pinjaman modal melalui dana zakat ini seolah-olah memberikan bebanan hutang kepada golongan asnaf, dan bukan bermatlamat membantu mereka. Bagaimana untuk menangkis persepsi seumpama ini?

RIZAL IL-EHZAN: Bantuan kepada asnaf ini tidak semestinya dalam bentuk pemberian terus. Melalui model pinjaman dari dana zakat ini, usahawan asnaf ini akan mendapat pendedahan tentang konsep keusahawanan sebenar di mana ada komitmen yang perlu diuruskan. Kami yakin sistem pembiayaan melalui dana zakat ini mampu untuk mendorong dan membimbing usahawan asnaf untuk lebih berdaya usaha dalam mengurus perniagaan mereka dan seterusnya menjadi lebih berdaya tahan dan berjaya.

Kami ingin menekankan bahawa program ini tidak mengabaikan pengagihan dana zakat terus kepada asnaf yang memerlukan seperti biasa.

Tambahan lagi, AIS telah melantik beberapa orang penyelidik yang terdiri daripada ilmuan akademik dan individu yang terlibat di institusi zakat untuk membuat kajian dari perspektif Feqah dan Syariah.

Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa pandangan yang membenarkan pengagihan dana zakat dalam bentuk pinjaman adalah bersandarkan kepada beberapa kaedah. Kaedah utama yang digunakan adalah maslahah di mana sesuatu inovasi boleh dilaksanakan dalam zakat sekiranya ia mempunyai kemaslahatan yang lebih besar untuk asnaf.

Maslahah dari sudut pandangan Imam al-Ghazali Rahimahullah adalah sebarang bentuk perkara yang mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan. Sebagai contoh sebahagian ulama membenarkan menggugurkan hutang si fakir sebagai zakat, mengagihkan zakat tidak kepada kelapan-lapan asnaf, dan melaburkan harta zakat untuk maslahah yang lebih besar untuk asnaf.

Selain itu, terdapat satu resolusi yang dikeluarkan oleh Bayt Al-Zakat Al-Kuwaiti yang mengatakan aplikasi agihan zakat secara bukan tradisional adalah dibenarkan bersumberkan tindakan Rasulullah SAW tatkala unta, lembu dan kambing zakat dikumpulkan, ia tidak diagihkan terus kepada asnaf. Akan tetapi, hanya susu unta diberikan kepada penerima zakat. Di sini menunjukkan bahawa, susu yang terhasil daripada haiwan zakat boleh dianggap sebagai salah satu hasil atau pulangan zakat yang diambil sebagai manfaat oleh asnaf. Dalam konteks program ini, manfaat dari pinjaman itulah yang dinikmati oleh asnaf, manakala dana asal zakat dipulangkan semula untuk manfaat asnaf lain pula.

Antara perkara lain yang dibahaskan di dalam kertas kajian adalah berkenaan dengan persoalan tamlik di mana adakah ia menjadi satu kemestian dalam pengagihan zakat. Walaupun terdapat pendapat yang mengatakan tamlik bukanlah syarat dalam zakat seperti dinukilkan oleh al-Shawkani, namun untuk program ini, kami mengambil keputusan untuk menyerahmilikkan dana zakat tersebut kepada asnaf yang layak selepas 3 tahun dana dipusingkan.

Bagaimanakah pendekatan yang diambil oleh AIS dalam memberikan keyakinan kepada institusi zakat dan juga umat Islam di negara ini bahawa program Zakat dan Pembiayaan Mikro ini benar-benar dapat membantu golongan asnaf keluar dari kemiskinan serta membina kehidupan baharu?

RIZAL IL-EHZAN: Tujuan zakat adalah untuk mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Selaras dengan ini, pembiayaan mikro zakat dapat membina sebuah ekosistem kewangan yang lebih inklusif untuk lapisan masyarakat yang kurang mendapat perhatian selama ini dari institusi pembiayaan.

Inisiatif ini mempunyai niat membantu usahawan asnaf yang bertanggungjawab, berwibawa, berdedikasi serta berdisiplin untuk keluar dari kancah kemiskinan.

AIS berganding bahu dengan institusi zakat dan rakan kongsi yang yang mempunyai kepakaran untuk membiayai penerima bagi mengusahakan perniagaan mereka dengan jayanya. InshaAllah dengan berjayanya perniagaan mikro asnaf ini, mereka mampu menjadi pembayar zakat suatu hari nanti.

Melalui sistem penyaluran semula dana zakat, pembiayaan mikro zakat juga akan menimbulkan kesinambungan dalam penggunaan dana zakat dan memberikan manfaat yang lebih besar dan kepada lebih ramai orang asnaf.

AIS beraspirasi untuk membantu dan membimbing usahawan mikro asnaf berkembang sehingga menjadi peniaga yang berjaya. Ini dipastikan melalui pendidikan, peningkatan kemahiran, pembiayaan dan kepintaran kewangan.

Apakah harapan AIS kepada program Zakat dan Pembiayaan Mikro ini sebagai salah satu mekanisme baharu dalam kaedah pengagihan zakat di Malaysia?

RIZAL IL-EHZAN: Melalui pelbagai inisiatif kewangan dan bukan kewangan, AIS berusaha untuk membantu golongan yang terdedah bagi menjana pendapatan yang stabil. Program-program AIS seperti SocioBiz dan Economic Empowerment Programme memupuk tabiat kewangan dan keusahawanan yang sihat.

Program pembiayaan mikro zakat mempunyai matlamat serta niat yang sama. Melalui program ini, AIS menyasarkan untuk mengagihkan dana zakat sebanyak RM200,000 semasa fasa perintis program ini dan membantu sebanyak 40 usahawan mikro asnaf untuk:

- Mendapat bantuan modal untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.

- Mendayamajukan perniagaan seiring dengan aktiviti-aktiviti sampingan dalam program ini.

- Beralih dari penerima zakat kepada seorang pembayar zakat di akhir program.

- Mendapat akses kepada modal komersial dengan kadar yang lebih kompetitif apabila tidak bergelar asnaf.