KOTA BHARU - Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 73, hari ini memulakan kayuhan solonya menjelajah Selatan Thailand sejauh 600km bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) dan Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK 2020).
Wan Hashim yang lebih mesra dipanggil Pak Wan berkata, misi kayuhan kali ini akan bermula di Kota Bharu sebelum ke Rantau Panjang di Pasir Mas dan memasuki selatan Thailand menerusi Sungai Golok.
"Kemudian saya bergerak ke Hatyai, Songkhla, Pattani, Narathiwat dan dijangka akan kembali ke Rantau Panjang pada 1 Januari ini.
"Sepanjang kayuhan ini saya akan berhenti di beberapa tempat tumpuan pelancong dan orang ramai di Selatan Thailand bagi mempromosikan tempat menarik yang ada di Malaysia dan Kelantan sempena TMM 2020 dan TMK 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada acara pelepasan kayuhan solonya sempena sambutan TMM 2020 dan TMK 2020 Pejabat Tourism Malaysia cawangan Kelantan di sini hari ini.
Acara pelepasan kayuhan solo Wan Hashim disempurnakan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin dan turut dihadiri Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac) Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud.
Mengulas persiapan yang dilakukan beliau sempena misi kayuhan solo kali ini, Pak Wan berkata, beliau melakukan kayuhan sejauh kira-kira 40 km sehari sejak sebulan lepas bagi menguatkan stamina.
"Saya juga akan berkayuh ke Rantau Panjang atau Takbai di selatan Thailand setiap seminggu sekali. Kebiasaannya saya akan memulakan kayuhan pada awal pagi antara pukul 8 pagi dan berakhir dua jam kemudian,” katanya.
Katanya, beliau amat bertuah dan berterima kasih kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya Tourism Malaysia Kelantan dan Motac Kelantan selain ibunya, Che Hasmah Ahmad, 89, isterinya, Faridah Daud, 68, dan ahli keluarga. - Bernama