JOHOR BAHRU - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjadi peneraju kepada pelaksanaan agensi tunggal atau Single Border Agency (SBA) bagi mengawal selia 141 pintu masuk negara yang akan bermula pada tahun hadapan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN telah memulakan kerja-kerja awalan dan butiran penting mengenai agensi tunggal berkenaan sedang diperincikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi, pada Rabu di Putrajaya.
Menurutnya, penubuhan SBA dapat memenuhi tiga tujuan utama yang telah ditetapkan iaitu menyelaraskan koordinasi antara pelbagai agensi kawal selia yang bertanggungjawab di sempadan, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan mengekalkan integriti.
"Susulan pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, KDN diputuskan oleh jemaah Menteri untuk menerajui pembentukan SBA.
"Kita ada tempoh dua bulan ini untuk menyiapkan pelbagai perkara termasuk struktur agensi, perjawatan dan sebagainya.
"Projek rintis SBA ini akan melibatkan sejumlah pintu masuk pada tahun hadapan," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani pembelian secara en-bloc Pangsapuri Aliff Sejahtera bagi kediaman kakitangan Jabatan Imigresen Johor di sini pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Saifuddin menambah, KDN akan turut mencontohi model penubuhan pasukan seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
"Sebagai contoh, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor, ada lebih 20 agensi antaranya JIM (Jabatan Imigresen Malaysia), Polis Diraja Malaysia selain komponen Jabatan Pertanian dan Veterinar serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Manakala di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Laluan Kedua Malaysia Singapura (KSAB) pula ada lebih kurang 14 agensi.
"Oleh itu, jika SBA dilaksanakan, ia seperti Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura," katanya.
Kabinet bulan lalu dilaporkan akan memuktamadkan penubuhan SBA bagi mengawal selia pintu masuk negara dalam masa terdekat.
Pada 20 Januari lalu pula, Saifuddin dilaporkan berkata, inisiatif SBA yang dirancang sejak 2018 adalah bagi menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk antaranya JIM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).