MP Gua Musang sokong PM: Pas, Bersatu adakan mesyuarat segera

Iklan
Sinar Harian pada Selasa melaporkan Mohd Azizi daripada PN mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri. (Gambar kecil: Wan Roslan)

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Pas Kelantan sudah mengambil maklum tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuatkuasa pada Selasa.

Setiausahanya, Wan Roslan Wan Hamat ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

Sinar Harian Online pada Rabu melaporkan Bersatu Kelantan akan berjumpa dengan pucuk pimpinan Pas negeri bagi membincangkan tentang tindakan Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Presidennya, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, perjumpaan tersebut bagi membincangkan berkenaan dengan perkara berkait dengan Mohd Azizi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri.

Iklan

"Balik sahaja dari pertemuan itu kita lebih jelas bagaimana arah tuju tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita semasa ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Sebelum itu Sinar Harian pada Selasa melaporkan Mohd Azizi daripada PN mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Iklan

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Mohd Azizi yang bertanding atas tiket Pas berjaya menumbangkan penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li daripada Barisan Nasional (BN).

Mohd Azizi menang dengan majoriti sebanyak 163 undi di kawasan yang dipegang oleh Ku Li selama 10 penggal.