Malaysia, India timbang guna mata wang sendiri dalam perdagangan dua hala

Iklan
Zambry bersama rakan sejawatan, Subrahmanyam Jaishankar di New Delhi. - Foto FB Zambry Abdul Kadir

MALAYSIA dan India sedang mempertimbangkan penggunaan mata wang masing-masing dalam urusan perdagangan dua hala dalam usaha memperluas kerjasama ekonomi, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Perkara itu merupakan antara isu yang dibincangkan semasa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) yang dipengerusikan beliau bersama Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar di New Delhi pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Menggunakan mata wang sendiri adalah langkah ke hadapan untuk perdagangan antara kedua-dua negara.

"Malaysia memulakannya dengan Thailand dan Indonesia. Sekarang kami mencadangkannya kepada India," kata Zambry kepada pemberita, sambil menambah India menerima idea itu.

Iklan

Menteri Luar itu berkata, walaupun langkah berkenaan mungkin dilihat sesetengah pihak sebagai menghentikan pergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS), Malaysia sebaliknya melihat ia sebagai cara untuk mengukuhkan mata wang negara dan melindunginya daripada turun naik sepanjang masa.

India merupakan rakan ekonomi utama Malaysia di Asia Selatan, dengan perdagangan dua hala pada 2022 bernilai RM86.2 bilion (AS$19.6 bilion).

Iklan

Mesyuarat suruhanjaya bersama itu diadakan buat kali pertama sejak 2011 dan menyaksikan kedua-dua negara memperbaharui komitmen mereka untuk mengukuhkan lagi hubungan dalam pelbagai sektor.

Perbincangan itu merangkumi bidang seperti ekonomi digital, pembuatan semikonduktor dan cip, pertahanan, pelancongan, penjagaan kesihatan, teknologi kewangan, ekonomi digital, pertanian, pendidikan dan keselamatan makanan.

Zambry berkata, kerajaan India berjanji untuk meneliti beberapa isu teknikal yang dihadapi oleh syarikat penerbangan Malaysia dalam menambah lebih banyak penerbangan bagi laluan ke benua kecil India.

Turut ditekankan mesyuarat itu ialah isu-isu kecil tidak seharusnya menjadi penghalang utama dalam mempromosikan kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

JCM juga membincangkan pindaan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) untuk menggambarkan ekonomi baharu dan perkembangan terkini sektor digital.

Kedua-dua pihak perlu melihat semula beberapa bidang dalam perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani pada 2011, kata menteri itu. - Bernama