Tidak timbul isu Pusat Khidmat DUN ceroboh tanah kerajaan - Hilman

Iklan
Muhammad Hilman
SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham menegaskan tidak timbul isu Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia menceroboh tanah kerajaan, apatah lagi ia telah beroperasi sejak tahun 2008.

Muhammad Hilman berkata, dalam tempoh itu, pejabat yang diwarisinya itu pernah digunakan ADUN kerajaan dan pembangkang.

Sehubungan itu katanya, tindakan kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Gombak berterusan mengambil tindakan menghantar notis, tindakan penguatkuasaan termasuk membuat laporan polis amat dikesali.

"Saya dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak oleh kerajaan Selangor yang mengaitkan diri saya selaku ADUN sebagai penceroboh di atas tanah kerajaan yang telah sekian lama dijadikan Pusat Khidmat DUN Gombak Setia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Muhammad hilman memberitahu, isu itu menjadi pertikaian berikutan beliau bukan lagi ADUN kerajaan negeri.

Beliau turut memberitahu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap notis dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Daerah Gombak di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Pada masa sama, Mahkamah Tinggi Shah Alam juga telah memberikan kebenaran untuk saya meneruskan permohonan semakan kehakiman tersebut," jelas beliau.

Muhammad Hilman memberitahu, tindakan kerajaan negeri itu dilihat seolah-olah menghina dan tidak menghormati proses perundangan yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Saya ingin menegaskan kepada kerajaan negeri dan Pentadbir Tanah Gombak supaya segera menghentikan tekanan dan ugutan politik ini," tambah beliau.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri diminta lebih memberi tumpuan kepada isu pencerobohan tanah kerajaan sememangnya amat serius di negeri ini termasuk di daerah Gombak.

"Mengapa sebuah pusat khidmat yang menjadi pusat aduan, perlindungan serta tempat rakyat memohon bantuan menjadi sasaran berterusan?

"Mengapa kawasan-kawasan lain yang diceroboh dibiarkan tanpa penguatkuasaan?" soalnya.