SHAH ALAM - Tiga anak yatim Palestin di bawah pengurusan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Takaful menjadi mangsa korban terbaharu susulan serangan rejim Zionis ke atas Gaza.
Anak yatim yang meninggal dunia itu terdiri Baker Mohamed Baker Al Nams, Ali Ali Al Nashar dan Abedallah Shikh Eid dengan masing-masing berusia 17 tahun.
MyCARE menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa berkata, berita sedih itu juga telah dimaklumkan kepada keluarga angkat yang terlibat dalam tajaan anak yatim berkenaan.
"Dukacita dimaklumkan, tiga orang anak yatim Palestin di bawah pengurusan MyCARE dengan kerjasama NGO Takaful telah terkorban disebabkan serangan rejim Zionis ke atas Gaza.
"Kami juga telah memaklumkan hal ini kepada pihak keluarga angkat (penaja Malaysia) tentang perkhabaran duka ini.
"Semoga anak-anak ini dikurniakan syahid. Semoga ALLAH SWT merahmati kepada para penaja mereka dan dapat disatukan di syurga kelak," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Kementerian Kesihatan di Genting Gaza mengumumkan jumlah korban kekejaman rejim Zionis telah melepasi 10,000 orang sejak kempen pengeboman berterusan dilancarkan ke atas wilayah terkepung itu.
Angka tersebut jauh lebih tinggi berbanding hanya 1,400 kematian yang direkodkan Israel sepanjang tempoh konflik itu berlarutan.