Banjir: 233 sekolah sedia jadi PPS

Iklan
Karim (tiga dari kanan) dan Shanmugam (tiga dari kiri) bersama sebahagian pelajar yang menerima sumbangan pakaian raya di Little India, Jalan Bendahara di sini, pada Rabu.

MELAKA - Sebanyak 233 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri ini akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir pada fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan ini.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Karim Tumin berkata, sekiranya bencana itu berlaku pihaknya akan menggunakan bangunan sekolah rendah sebagai PPS berbanding sekolah menengah.

Shanmugam (kiri) membantu seorang pelajar memilih baju di Little India, Jalan Bendahara di sini, pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini bagi memastikan calon-calon yang mengambil peperiksaan utama di sekolah menengah tidak menghadapi sebarang kesulitan.

"Lagipun separuh daripada jumlah sekolah yang sedia menjadi PPS merupakan sekolah rendah," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program meraikan pelajar kurang bernasib baik sempena Deepavali yang dianjurkan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP. Shanmugam di Little India, Jalan Bendahara, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Karim berkata, kerja-kerja baik pulih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam yang ditimpa bencana ribut sedang dilaksanakan dan telah 40 peratus siap.

Iklan

Menurutnya, kerja baik pulih terutama struktur bumbung beberapa bangunan terjejas dijangka dapat disiapkan lebih awal sekali gus akan lebih ramai pelajar dibenarkan mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka pada pertengahan bulan ini.

"Sebelum ini kita menganggarkan kerja baik pulih akan mengambil masa enam bulan, jika siap lebih awal sekolah itu akan beroperasi seperti biasa sebelum Mac tahun depan," katanya.