KUALA SELANGOR - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bersedia mendapatkan pensijilan halal bagi mengelakkan keraguan umat Islam berikutan tular hidangan nasi kandar babi tidak halal yang dijual di Damansara baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, sudah tiba masanya semua restoran mamak yang menyediakan makanan halal di negara ini mempunyai perakuan itu bagi memastikan jaminan makanan disediakan memenuhi syarak di samping meningkatkan keyakinan pengguna.
Menurutnya, sehingga kini, terdapat kira-kira 1,500 daripada 12,000 restoran mamak sudah mendapatkan pensijilan halal.
Bagaimanapun Jawahar berkata, Presma mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga perlu menyediakan garis panduan lengkap termasuk menyediakan pegawai pemantau bagi memastikan setiap permohonan daripada pihak restoran memenuhi kriteria dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Katanya, proses memudah cara permohonan itu penting bagi membolehkan lebih banyak restoran mamak mengemukakan permohonan pensijilan halal tersebut.
"Saya yakin, jika pengusaha restoran diberi pengetahuan dan maklumat jelas lebih banyak permohonan pensijilan ini dibuat," tambahnya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan setiap permohonan untuk mendapatkan sijil halal wajib diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja dan tiada alasan untuk dilewatkan.
Ahmad Zahid berkata, terdapat rungutan mendakwa proses permohonan itu mengambil tempoh dari sembilan bulan sehingga dua tahun, malah ada yang hanya mendapat maklum balas permohonan tidak diluluskan selepas dua tahun.