KDNK diunjur 4.0 peratus tahun ini, 4.5 peratus tahun depan - AmBank

Iklan
AmBank. - Foto Bernama

MALAYSIA berada di landasan yang betul untuk mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.0 peratus tahun ini dan 4.5 peratus bagi 2024 berikutan penurunan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) September, kata AmBank (M) Bhd.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pengurangan marginal 0.5 peratus tahun ke tahun semalam dalam IPP September 2023, selepas mencatat pertumbuhan negatif 0.3 peratus pada Ogos 2023.

Iklan
Iklan

AmBank dalam nota penyelidikan berkata, pengeluaran pembuatan dijangka kekal di bawah tekanan dalam tempoh terdekat berpandukan kepada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan yang terus mengalami kemerosotan.

Ia menjangkakan keadaan akan bertambah baik pada 2024, selain itu Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan eksport global akan meningkat.

Iklan

"Dalam pada itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan unjuran KDNK China sebanyak 40 mata asas kepada 4.6 peratus pada 2024 baru-baru ini, justeru menawarkan sedikit harapan untuk aktiviti pembuatan yang lebih baik,” kata firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun, risiko geopolitik yang semakin meningkat, tempoh kadar faedah tinggi yang berpanjangan dan ketidakpastian mengenai pasaran hartanah China adalah faktor risiko utama yang boleh menjejaskan prospek berkenaan, katanya.

Iklan

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin semalam berkata, penurunan IPI September kebanyakannya dipengaruhi oleh kemerosotan 5.2 peratus dalam sektor perlombongan.

Sebaliknya, sektor pembuatan kembali kepada pertumbuhan marginal 0.4 peratus pada September 2023 selepas merosot selama tiga bulan berturut-turut manakala sektor elektrik meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding 1.9 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2023, katanya. - Bernama