SEREMBAN - Seorang lelaki etnik Rohingya menangis selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonannya untuk diberikan jaminan atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudaranya, 2 November lalu.
Tertuduh berusia 21 tahun sebelum itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan yang merupakan anak saudaranya berusia lima tahun dengan cara memegang kemaluannya.
Kesalahan itu dilakukan pada 2 November lalu kira-kira jam 12 sehingga 12.10 tengah hari di Taman Jujur, Sikamat di sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017.
Sabit kesalahan, boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon tarikh baharu untuk mendapatkan laporan perubatan penuh mangsa dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.
Katanya, ia atas beberapa faktor antaranya tertuduh merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan kemungkinan dia tidak akan dapat dikesan sekiranya dibebaskan dengan jaminan.
"Mangsa juga berusia lima tahun dan tertuduh merupakan pakcik kepada mangsa serta tinggal di alamat sama," katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 September depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.