PASIR GUDANG - Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sedia menimbang semula perlaksanaan Nilaian Baharu Cukai Harta yang dicadangkan naik pada kadar antara 40 sehingga 50 peratus bermula 1 Januari 2024.
Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd Amin Ahmad berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pada pertengahan bulan ini bagi membincangkan dan memutuskan kadar yang akan dipersetujui nanti.
"Sebelum diputuskan dalam mesyuarat khas itu nanti, penduduk Pasir Gudang dibenarkan buat bantahan secara bertulis kepada pihak MBPG sehingga tarikh akhir pada 14 November ini. Bantahan secara dalam talian juga boleh dilakukan.
"Setakat ini hanya 1,300 daripada 98,480 pemilik harta di Pasir Gudang mengemukakan bantahan tersebut. Mereka yang membantah secara tidak formal adalah lebih ramai menerusi sesi libat urus bersama ahli majlis di zon masing-masing," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MBPG, Menara Aqabah di sini pada Rabu.
Pada Ahad, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membantah rancangan MBPG untuk menaikkan cukai pintu sehingga kira-kira 40 peratus yang bermula tahun depan.
Hassan menegaskan, tindakan itu akan membuatkan rakyat di daerah ini bertambah marah, malah semakin terbeban selepas MBPG memutuskan untuk menguatkuasakan tindakan saman kenderaan diparkir di luar pagar rumah, juga pada tahun depan.
Mohd Amin yang juga Ahli Majlis Zon Mawar dan Zon Cendana berkata, cadangan kadar kenaikan adalah 20 peratus secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun ini sehingga 2028.
Menurutnya, kenaikan itu perlu dilakukan kerana kali terakhir cukai harta dinaikkan di Johor adalah pada 2013 dan secara amalannya patut disemak semula setiap lima tahun.
"Namun pada 2018 ia tidak berlaku atas sebab-sebab tertentu. Sehinggalah 2023, ia disemak semula bermula awal tahun tempoh hari," katanya.
Ujar Mohd Amin, Ahli-Ahli Majlis MBPG mengambil maklum keluhan majoriti masyarakat bandar raya ini membantah Notis Senarai Nilaian Baru yang diedar kepada penduduk pada 26 Oktober lalu.
Tambahnya, sebelum kertas cadangan menaikkan cukai harta itu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk kelulusan, beberapa siri mesyuarat diadakan antara ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan Datuk Bandar, Datuk Asman Shah Abd Rahman.
"Sebanyak lima siri mesyuarat telah diadakan, iaitu pada 18 Januari, 15 Mac, 29 Mac, 10 April dan akhir sekali pada 18 Jun lalu. Pendirian ahli-ahli majis dalam siri-siri mesyuarat berkenaan adalah tetap dan selari iaitu kenaikan cukai harta mestilah pada kadar munasabah dan tidak membebankan," katanya.
Jelasnya, kenaikan tersebut dibuat mengikut nilai hartanah semasa di setiap kawasan dan pada masa sama diharap memberi situasi menang-menang kepada semua pihak.
"Kami bersetuju dengan kaedah berkenaan kerana pada kami ia adalah 'win-win situation' kepada pihak MBPG dan masyarakat.
"Dengan kaedah ini, MBPG dapat menambah pendapatan dan meningkatkan perkhidmatannya, masyarakat pula tidak akan merasai kenaikan cukai yang mengejut dan mendadak," katanya.
Namun katanya, ramai membantah apabila kertas cadangan berkenaan dibentangkan dalam MMK malah terdapat juga kata-kata kurang enak yang mengatakan barisan Ahli Majis MBPG tidak peka dan sensitif dengan keadaan ekonomi yang kini sangat menekan.