SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran di Sungai Linggi yang dikesan berbau diesel sebagai biadab dan khianat.
Aminuddin berkata, perbuatan tersebut telah menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi terpaksa dihentikan sementara pada Selasa selepas mendapat aduan mengenainya kira-kira jam 3 petang.
Menurutnya, apa yang berlaku sangat mendukacitakan malah negeri ini baru sahaja menyambut Hari Alam Sekitar dan bulan sebelumnya Hari Air Sedunia, tetapi kepekaan tentang perkara tersebut masih berlaku.
"Tambahan perayaan Deepavali bakal berlangsung tidak lama lagi, ini yang paling penting dalam kita nak menyambut perayaan, ada lagi orang yang nak buat khianat. Ini pengkhianatan," katanya kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan operasi di loji berkenaan terpaksa dihentikan buat sementara waktu selepas terdapat aduan air Sungai Linggi di muka sauk LRA tersebut berbau diesel.
Siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi lain di loji rawatan air itu mendapati aduan berkenaan berasas dengan kadar bacaan bau pada jam 5 petang adalah pada bacaan enam ton dan bacaan mula menurun kepada dua ton pada jam 7 malam.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, siasatan terhadap kes tersebut masih dijalankan oleh agensi bertanggungjawab dan pihaknya akan memastikan pelakunya dapat ditangkap seterusnya diadili mengikut lunas undang-undang.
"Mereka nak untung sebab tak nak hantar ke pusat pelupusan, mereka lupus sendiri, memang tidak bertanggungjwab. Kita sentiasa ingatkan mereka sekiranya tertangkap mereka akan menanggung masalah besar," katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, operasi di loji itu telah mula beroperasi seperti biasa pada awal pagi tadi setelah tiada lagi pencemaran bau dikesan di dalam sumber air dari Sungai Linggi.
"Bekalan air dijangka akan pulih secara berperingkat, bagaimanapun beberapa kawasan tinggi dan penghujung dijangka akan mengalami tempoh pemulihan yang lebih lama terutamanya kawasan Chuah dan Lukut di Port Dickson," katanya.