JARINGAN tunggal Hazif Hakim Noorfaezal membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam menjulang Piala Sumbangsih Kejohanan Piala Dato' Mokhtar Dahari Bawah 15 tahun (B-15) 2023 di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19 Shah Alam pada Rabu.
Gol pada penghujung separuh masa kedua itu menyaksikan pasukan dari Shah Alam tersebut menewaskan SMK Dato' Harun, Tanjung Karang, 1-0.
Pengendali skuad B-15 SMK Shah Alam, Akid Zanggi menyifatkan kemenangan pasukannya itu hasil kerja keras pemain walaupun mendapat tentangan sengit lawan.
Menurutnya, kemenangan sulung pasukannya dalam aksi Piala Sumbangsih itu juga sebagai tonik berharga untuk mempertahankan Piala Dato' Mokhtar Dahari tahun ini.
"Kemenangan yang diraih hari ini bukan mudah mungkin kerana faktor cuaca yang agak panas pada separuh masa pertama.
"Namun, pada separuh masa kedua, kami berjaya mempamerkan permainan lebih tersusun dan memperolehi gol pada penghujung perlawanan," katanya.
Dalam pada itu, saingan peringkat kumpulan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 bermula pada Rabu hingga 4 Disember.
Kesemua pasukan terbabit dibahagikan kepada lapan kumpulan yang menyaksikan setiap kumpulan mengandungi empat pasukan.
Juara dan naib juara kumpulan layak ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada 27 November.
Kemudian diikuti dengan perlawanan suku akhir pada 29 November, separuh akhir 1 Disember dan perlawanan akhir 4 Disember.
Penganjur masih mengekalkan format Piala Juara-Juara Sekolah dari Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan-Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Selangor.
Kejohanan mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.