KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menafikan tindakan berat sebelah dan hanya berpihak kepada kerajaan dalam menangani isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching menegaskan, dakwaan berkenaan tidak benar ekoran masih ada ucapan daripada ahli Parlimen pembangkang yang tidak diturunkan daripada platform media sosial dan YouTube.
"Kalau kritikan atau tuduhan palsu terhadap sebelah sini (kerajaan) akan diturunkan serta-merta, saya nak tanya, ucapan daripada Ahli Parlimen Kepala Batas (Dr Siti Mastura Muhammad) sampai hari ini masih dalam media sosial, kita tidak padamkan.
"Saya rasa tuduhan dibuat adalah kurang adil kerana tiada bukti yang menyatakan bahawa dalam media sosial tidak ada nampak sebarang kritikan terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya bagi menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Wan Saiful sebelum itu bangkit mencelah dan bertanya sama ada Nie Ching bersetuju sekiranya ada rakyat menyatakan kerajaan dilihat seolah-olah berat sebelah dan hanya mengenakan tindakan terhadap mereka yang membangkitkan hak Melayu.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang), Nie Ching menegaskan, setiap ahli Parlimen bertanggungjawab untuk menyemak maklumat diterima terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.
"Kalau kita tidak pandai menyemak fakta dan percaya berita palsu, macam mana pula dengan orang di luar sana. Begitu ramai pengguna media sosial, usaha mendidik masyarakat memang ada seperti bawah SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), program Klik Dengan Bijak sejak tahun 2022.
"Mungkin SKMM perlu menyediakan satu sesi dan jemput semua ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Kepala Batas supaya kita sebagai pemimpin perlu tunjukkan sebelum menyebar apa-apa berita, biarlah kita buat semakan terlebih dahulu," ujarnya.