SHAH ALAM – Kementerian Belia dan Sukan menolak keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) pelantikan baharu bermula 1 Januari ini.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan perkara itu melalui satu rakaman video dikongsi di laman rasmi akaun Twitternya yang memberitahu kerajaan seharusnya melakukan kajian lebih terperinci kerana ia amat memberi kesan kepada rakyat.
"Saya tidak bersetuju dengan pemotongan elaun kritikal bagi doktor dan jururawat muda kita. Kita sepatutnya mengkaji semula segala elaun diberikan kepada ahli politik dan juga menteri seperti saya. Mereka sendiri pun telah bekerja melebihi masa dengan gaji yang kurang dari kadar sepatutnya..
"Sebab itu saya tidak bersetuju dengan pekeliling baru yang dikeluarkan JPA yang membawa kesan kepada banyak anak muda dalam sektor kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar gaji menteri diturunkan sebanyak 10 peratus bermula dengan dirinya sendiri sehingga masalah tersebut selesai.
"Permulaan ini saya saya akan memotong pendek cuti tahunan saya dan akan memulangkan setiap sen duit yang saya terima sebagai elaun cuti. Saya akan kurangkan gaji saya dan akan pastikan yang lain juga akan kurangkan gaji mereka sehingga masalah ini selesai.
"Ini berkenaan anak muda dalam sektor kerajaan. Kita patut membela mereka, kita tidak patut menganaktirikan mereka dan ini adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Terdahulu, penjawat awam yang menerima BIPK sedia ada tidak akan terjejas dengan pemansuhan BIPK kerana perlaksanaan itu hanya melibatkan pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020.
ARTIKEL BERKAITAN: Elaun kritikal mansuh hanya untuk lantikan 1 Januari 2020: JPA
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, penerima sedia ada juga akan terus menikmati pembayaran BIPK secara khas untuk penyandang (KUP) mengikut kadar sedia ada seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 117 Tahun 2007 sehingga meninggalkan perkhidmatan.
Perkongsian video yang berdurasi 1 minit 13 saat kini tular di media sosial yang meraih 241,800 tontonan. 15,600 ulang kicau dan rata-rata netizen kagum dengan tindakan menteri tersebut dalam membantu anak muda yang terlibat dalam sektor kerajaan,
"Anggap kami sebagai tanggungjawab dan bukan bebanan. Sudahlah macam-macam ditarik. Elaun-elaun ditarik. Cukai baharu dikeluarkan. Kecewa weh,” tulis @nabale96di Twitter.
@XavierNaxa pula memberitahu"Saya harap YB SyedSaddiq dapat usul cadangan ini kepada Kabinet dengan segera. Pemotongan ini tidak sepatutnya berlaku lebih- lebih lagi dalam ekonomi yang tidak menentu. Saya setuju potongan elaun dan gaji bagi semua menteri. Saya harap usaha YB dapat perhatian.