Rentak positif beregu negara di Korea

Iklan
Tang Jie (kanan) Ee Wei akan menentang rakan senegara, Pang Ron- Su Yi pada pusingan kedua Korea Masters 2023 di Gwangju pada Khamis. - Foto: Agensi

BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei bermula dengan langkah kanan dalam saingan Korea Masters 2023 di Gwangju pada Rabu.

Pasangan ke-10 dunia itu mengalahkan Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun dari Taiwan pada pusingan awal 21-19 dan 21-6 dalam tempoh masa 23 minit permainan.

Iklan
Iklan

Menanti pilihan keempat kejohanan itu ialah rakan senegara, Hoo Pang Ron- Cheng Su Yi yang menumpaskan beregu Korea, Wang Chan-Shin Seung Chan 23-21,21-15 dalam satu lagi aksi.

Turut mara ke pusingan kedua pada Khamis ialah beregu pilihan kelima, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menewaskan gandingan Jepun, Hashiro Shimono-Miku Shigeta, 21-8, 21-12.

Iklan

Pada pusingan kedua, pasangan negara itu akan membuat perhitungan dengan Yun Seong An-Lee Yeon Woo dari Korea Selatan yang menundukkan Su Li Wei-Sun Wen Pei dari Taiwan 21-15, 21-14.

Beregu meningkat naik, Yap Roy King-Valeree Siow pula mengatasi gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching, 12-14, 21-10.

Iklan

Mereka akan menguji kekuatan pilihan ketiga kejohanan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun yang mengalahkan pasangan Jepun, Hiroki Nishi-Akari Sato, 21-19, 21-11.

Pilihan keenam kejohanan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga tidak mengecewakan apabila mudah meneruskan kemaraan selepas mengalahkan pasangan Taiwan, Lu Chen-Cheng Yu Pei 21-15, 21-10.

Menanti pasangan negara pada pusingan kedua ialah gandingan Taiwan Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun yang mengenepikan cabaran wakil Amerika Syarikat, Vison Chiu-Jennie Gai, 21-14, 19-21, 21-17.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi juara Kuala Lumpur Masters Ahad lalu, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See apabila ditunjukkan jalan keluar lebih awal.

Mereka terpaksa akur tewas straigt set di tangan beregu Taiwan, Yang Po-hsuan dan Hu Ling Fang 21-11, 21-14 dalam tempoh kurang setengah jam permainan.