SHAH ALAM - Bahagian Kawalselia Padi dan Beras (KPB) melancarkan Task Force Operasi Benih Padi Sah (OP BPS) Zon Utara bagi menangani kekurangan bekalan Benih Padi Sah (BPS).
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, operasi berkenaan akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 7 November sehingga 21 November.
Iklan
Iklan
"Task Force OP BPS ini membabitkan pihak KPB di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak bertujuan bagi memastikan bekalan pengedaran dan penjualan BPS mencukupi.
"Ia juga bagi memastikan semua pihak mematuhi harga kawalan runcit baharu berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pengarah KPB Bilangan 6/2023," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, operasi berkenaan menyasarkan pengeluar dan ejen peruncit di Kedah yang mendapat kebenaran menjual BPS kepada pesawah.
"Sekiranya didapati ada pihak gagal untuk mematuhi perundangan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), pihak KPKM melalui kuasa Ketua Pengarah KPB berhak membatalkan serta merta atau menggantung setiap lesen yang dikeluarkan.
"Sebarang maklumat atau aduan berhubung isu mengenai kekurangan bekalan BPS di pasaran boleh dikemukakan secara rasmi bersama di portal rasmi KPKM," ujarnya.