SKUAD lelaki negara menampilkan prestasi cemerlang pada kempen Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah apabila membelasah Hong Kong 24-0 di Ipoh, Perak pada Khamis.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Indera Mulia itu, Muhammad Firdaus Omar muncul wira skuad negara apabila menyumbang lima gol bagi melengkapkan kemenangan tersebut.
Iklan
Iklan
Gol skuad negara turut dijaringkan Danial Asyraf Abdul Ghani (3'), Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (4', 19', 28'), Faridzul Afiq Mohd (9', 24'), Muhamad Izham Azhar (16', 17', 34', 39'), Wan Haziq Hisyamuddin Wan Ameer Ruzman (11', 13', 26', 39'), Mohd Shafiq Yaacob (12', 24', 27') dan Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah (38', 40').
Kemenangan itu sekali gus menyuntik semangat pasukan sebelum aksi terakhir liga sepusingan menentang Afrika Selatan pada Jumaat, selepas skuad bimbingan Mohd Hanip Che Halim itu dikecewakan setelah tewas 1-2 kepada New Zealand pada aksi pertama berlangsung pagi Rabu venue sama.
Pada aksi tersebut, Malaysia terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Faridzul Afiq Mohd pada minit kesembilan sebelum New Zealand bangkit dengan dua gol melalui Symonds Matthew (16') dan Houlbrooke Isaac pada minit ke-33.
Malaysia kini berada di kedudukan kedua daripada enam pasukan yang menyertai kejohanan berkenaan.
Dua pasukan teratas akan berentap pada final untuk menentukan juara pada Sabtu ini, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga. - Bernama