BANTING - Penduduk Kampung Bukit Changgang di sini bimbang berikutan paras air yang bergenang di sekitar kawasan berkenaan yang terus meningkat walaupun keadaan cuaca baik sejak pagi tadi.
Suri rumah, Hayati Daud, 60, berkata, ketika berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan orang Ramai Kampung Bukit Changgang pada tengah hari tadi, air yang memasuki rumahnya berada pada paras sekitar 0.4 meter.
Hayati berkata, air bah itu mulai meningkat sejak jam 6 pagi tadi dan paras air dilihat terus naik pada sebelah petang ini.
"Melihat keadaan itu, mak cik dan suami serta anak terus berkemas dan meletakkan barang-barang di bahagian tinggi serta berpindah ke PPS terdekat.
"Ini bukan pengalaman pertama, kami pernah kena lebih teruk banjir besar 2021, ia betul-betul menakutkan kerana waktu itu kami perlu meredah banjir tengah malam untuk selamatkan diri.
"Dalam rumah mak cik juga ada empat kanak-kanak di samping keadaan suami yang tidak sihat, kami juga risau jika ada haiwan berbisa atau apa-apa. Cuma banjir kali ini sedikit pelik, tiada hujan tetapi (paras) air naik," katanya ketika ditemui pemberita di PPS berkenaan.
Hayati turut menceritakan keadaan kawasan tempat tinggalnya itu seakan terkepung setiap kali banjir melanda, malah sebelum ini khidmat bomba digunakan bagi mengeluarkan air yang bertakung itu.
Sementara itu, Muhammad Firdanish Din, 17, pula memberitahu, bahagian dapur dan perkarangan rumahnya mula dinaiki air sejak jam 7 pagi tadi.
"Jam 1 pagi semalam air memang sudah naik di kawasan laman rumah, tidak sangka pagi ini paras air terus tinggi. Cuaca cerah pada sebelah siang (semalam) kecuali jam 7 malam tadi, hujan selama sejam.
"Petang ini air terus naik sehingga melepasi paras paha. Bahagian dapur dan belakang rumah sudah tenggelam. Mujur ruang tamu dan bilik berada di bahagian atas,” katanya yang akan berpindah ke PPS sekiranya keadaan semakin buruk.
Tinjauan Bernama di sekitar Kampung Bukit Changgang mendapati limpahan air berlaku di beberapa kawasan antaranya Jalan Tembaga, Perak Kiri, Emas Kiri dan Intan Kiri selain, penempatan yang berdekatan dengan parit.
Beberapa penduduk mendakwa kejadian limpahan air dari lombong dan sungai menyebabkan kawasan-kawasan berhampiran yang lebih rendah ditenggelami air walaupun hujan tidak begitu lebat sejak dua hari lepas.
Setakat ini 75 mangsa daripada 18 keluarga telah berpindah ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang. - Bernama