'Jihad jiwa pada ALLAH Yang Satu sangat hebat' - Ogy Ahmad Daud

Iklan
Ogy bersama adik pengasas Yayasan Ammirul Ummah, Ahmad Ibrahim Ridhwan Ismail @ Omar (kiri) menyampaikan replika cek kepada Cinta Gaza Malaysia.

SENIWATI Fauziah Datuk Ahmad Daud menyifatkan situasi semasa yang dialami rakyat Palestin kini mendidiknya mengenai jihad jiwa.

Jelas Fauziah atau lebih mesra dengan panggilan Ogy, 61, biarpun sudah melalui peperangan dengan Israel sejak tujuh dekad lalu, iman mereka tetap teguh kepada ALLAH SWT.

Iklan
Iklan

"Setiap hari kita dihidangkan dengan keadaan semasa di Semenanjung Gaza, berapa ramai yang sudah syahid dan tidak kurang yang cedera.

"Apa yang saya kagum dengan mereka adalah iman mereka tidak pernah goyah. Walaupun ada yang kehilangan ibu, ayah, anak atau seluruh ahli keluarga mereka, tetapi iman dan jihad jiwa pada ALLAH Yang Satu sangat hebat.

Iklan

"Kita selalu mengadu berdepan dengan ujian, tetapi mereka di sana lalui ujian yang lebih berat tetapi mereka sentiasa berselawat dan tetap berdoa pada ALLAH," katanya kepada Sinar Harian.

Ogy Ahmad Daud

Justeru, ujar bintang Bunga Hati itu, semua manusia harus bersatu terutamanya umat Islam dan menghulurkan sumbangan ke saudara di Palestin.

Iklan

Jelas Fauziah, beliau berbesar hati apabila diberi peluang untuk sama-sama berbakti menerusi Yayasan Ammirul Ummah (YAU).

"Ahad lalu pengasas YAU ajak saya sertai pelancaran tabung buat penduduk Palestin bersama Cinta Gaza Malaysia dan Ustazah Asma' Harun. Jadi saya sertai demi agama ALLAH. Dapat ilmu daripada ustazah Asma', selama ini hanya menonton ceramahnya menerusi YouTube, kali ini secara langsung.

"Pada pengamatan saya, kita seharusnya menjadi insan yang mempunyai ihsan. Kita tidak boleh berjuang dengan senjata, tetapi kita berjuang dengan doa, solidariti dan bantuan kewangan.

"Kita harus bersyukur masih dipanjang umur, dapat melihat segala kemusnahan yang berlaku di Gaza dan kita berpeluang menghulurkan sumbangan ke jalan ALLAH. Tidak semua dapat peluang itu," jelasnya yang bersama YAU menyalurkan sumbangan RM10,000 buat Palestin menerusi Cinta Gaza Malaysia.

Berkongsi lanjut penglibatannya bersama YAU, Fauziah berkata, beliau sudah tiga tahun bersama yayasan itu, mewakafkan al-Quran serta pembinaan masjid di Indonesia.

Ogy dan anaknya, Aminah bergambar kenangan bersama ustazah Asma' Harun.

"Selain itu, bersama yayasan, saya terlibat dengan wakaf al-Quran sehingga dapat menjejakkan kaki ke Bandung, Indonesia," ujarnya yang berharap penglibatan bersama YAU menjadi saham akhirat buatnya dan kedua-dua ibu bapa iaitu Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah.

Tambah Fauziah, pihak YAU sentiasa berusaha untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Justeru, sesiapa yang ingin turut serta menjayakan program Tabung Kecemasan Gaza, bolehlah menyalurkan sumbangan anda ke akaun Yayasan Amirul Ummah, CIMB - 8603338318 atau Maybank -563019271201.