Bersih kecewa Anwar belum beri peruntukan buat pembangkang

Iklan
Bersih

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menzahirkan dukacita apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum memberikan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada ahli Parlimen terutamanya pembangkang.

Pihaknya dalam satu kenyataan berkata, tindakan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menyebabkan empat ahli Parlimen daripada blok pembangkang mengisytiharkan sokongan terhadapnya atas alasan keperluan mendapatkan peruntukan di kawasan masing-masing.

Iklan
Iklan

Menurut Bersih, pihaknya tidak bersetuju bahawa peruntukan CDF untuk pembangkang diikatkan dengan syarat-syarat tertentu kerana ia wajar diberi sebagai hak wakil rakyat tanpa mengira parti.

"Penahanan peruntukan CDF untuk turun kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) adalah tidak adil diamalkan Kerajaan Madani kerana ia diberikan kepada mereka yang menyokong kerajaan.

Iklan

"Pembangkang juga dipilih oleh rakyat dan Kerajaan Madani perlu menghormati pilihan pengundi kawasan mereka serta tidak menggunakan peruntukan sebagai cip tawar-menawar untuk tarik sokongan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bersih turut menambah, kesemua wakil rakyat PN yang menyatakan pendirian menyokong Kerajaan Persekutuan menunjukkan realiti malang politik dalam negara hari ini.

Iklan

Ujarnya, golongan sehaluan dengan kerajaan mendapat wang awam, manakala bagi yang tidak menyokong akan dihukum dengan menahan peruntukan berkenaan.

"Amalan tidak adil ini yang bermula sejak zaman Barisan Nasional (BN) dan disambung di zaman PN telah dibantah selama ini dan dijanji penghapusannya oleh PH dalam manifesto Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15),” ujarnya.

Justeru, Bersih meminta kerajaan menjalinkan perjanjian persefahaman (MOU) untuk reformasi institusi yang menjanjikan kestabilan politik dan gelanggang permainan rata buat semua pihak, sebagaimana berlaku antara Keluarga Malaysia serta PH pada 13 September 2021.

Jelasnya, MOU tersebut boleh merangkumi pelbagai item reformasi, selain pengkanunan CDF setara untuk ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pendanaan awam buat semua parti mengikut peratusan undi, pengiktirafan kabinet bayangan, pedalaman (deepening) reformasi Parlimen, Akta Parlimen Berpenggal Tetap juga pemisahan Badan Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Ini akan membolehkan kerajaan dan pembangkang bekerjasama, bersaing secara profesional dalam mengatasi cabaran ekonomi serta mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.

"Jika kedua-duanya keberatan mengambil langkah pertama untuk menggerakkan rundingan MOU, mereka boleh meminta bantuan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaffar yang bertanggungjawab mengotakan kebanyakan reformasi institusi dalam MOU 2021-2022.

"Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai orang tengah jujur ( honest broker) untuk membawa pendamaian demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” jelas Bersih.