PRINSIPAL pasukan RNF MotoGP, Datuk Razlan Razali berpandangan sukar untuk kembali menyaksikan kelibat pelumba tempatan menembusi saingan kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu berkata, berdasarkan pengamatan, pelumba negara masih belum bersedia dan perkara berkenaan adalah realiti harus diterima semua pihak.
Beliau berkata, ketika ini Malaysia hanya ada seorang wakil dalam saingan di Kejuaraan Dunia iaitu pelumba Moto3 Muhammad Syarifuddin Azman berbanding lebih seorang pelumba termasuk dalam kelas Moto2 sebelum ini.
"Bagi saya Malaysia macam terbelakang kalau nak dibandingkan dengan Indonesia dan Thailand, jadi saya harap pihak tertentu akan buat balik program. Sebenarnya, kita ada pelapis seperti Hakim Danish, Daniel Syahmi dan Qabil Irfan tetapi masih muda.
"Kita harus teruskan pelaburan terhadap mereka sehingga mereka bersedia untuk bersaing di Kejuaraan Dunia...tetapi jangan labur separuh jalan," katanya ketika ditemui pada Program Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) Motorsports Youth Session di Putrajaya pada Rabu.
Pada masa sama, Razlan berpendapat peluang untuk pelumba tempatan bersaing dalam kelas perdana MotoGP juga sukar disebabkan ketiadaan penglibatan pasukan negara.
"Macam dulu kita sudah ada pasukan dan infrastruktur yang bagus tetapi sokongan tidak diteruskan, sekarang bila sudah ada bakat pasukan pula tiada...saya tengok dalam 10 tahun pun mungkin susah nak dapat pelumba Malaysia dalam MotoGP," katanya.
Kali terakhir Malaysia mempunyai pelumba dalam kelas perdana MotoGP adalah menerusi Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi pada musim 2018 dan 2019.
Terdahulu pada program hari ini, kira-kira 100 pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) menimba pengalaman berharga mengenai 'dunia' MotoGP apabila berpeluang mendengar pengalaman, mengajukan soalan dan bergambar bersama Razlan, mekanik RNF MotoGP Hibbatullah Fuad, serta pelumba Raul Fernandez.
Hibbatullah atau mesra dengan panggilan Habib yang berasal dari Parit Buntar, Perak merupakan satu-satunya mekanik negara berkhidmat dalam pasukan MotoGP. - Bernama