Kerajaan sedia mudahkan pertumbuhan industri EV - Anwar

Iklan
Anwar berucap pada majlis pelancaran Kenderaan Elektrik Weststar Maxus Mifa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan komited untuk memudahkan pertumbuhan industri kenderaan elektrik (EV) dan penggunaan teknologi hijau yang lebih meluas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini sejajar dengan matlamat kerajaan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, iaitu mempercepatkan penerimaan EV dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam pelbagai sektor.

Iklan
Iklan
Anwar bersama Pengarah Urusan Kumpulan Pengarah Kumpulan The Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim semasa gimik pelancaran Weststar Maxus Mifa 9 Electric Vehichle. - Foto Bernama

Pada masa sama, Anwar berkata, EV juga menjanjikan untuk menangani perubahan iklim kerana industri automotif menyumbang kira-kira satu perlima daripada pelepasan global.

"Memandangkan pergantungan berterusan kita terhadap bahan api import dan turun naik yang tidak menentu dalam harga minyak global, maka wajar untuk kita mempromosikan peralihan kepada EV.

Iklan
Anwar semasa pelancaran Kenderaan Elektrik Weststar Maxus Mifa. - Foto Bernama

"Peralihan ini bukan sahaja membawa kepada penjimatan bahan api dan gas tetapi juga mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kita dengan ketara, memperjuangkan kemampanan dalam aktiviti harian kita,” katanya ketika melancarkan Kenderaan Elektrik Weststar Maxus MIFA 9, di sini hari ini.

"Marilah kita sebagai barisan bersatu, terdiri daripada kerajaan, pemain industri dan orang ramai, bekerjasama untuk membentuk Malaysia yang lebih bersih dan mampan untuk generasi akan datang," katanya.

Iklan

Selain itu, Anwar berkata, dedikasi kerajaan yang tidak berbelah bahagi terhadap mobiliti mampan dan teknologi hijau terbukti dalam dasarnya yang mantap.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan melanjutkan pengecualian duti import bagi komponen EV pemasangan tempatan sehingga Disember 2027, memberikan pengecualian cukai eksais dan jualan sepenuhnya kepada kenderaan pemasangan tempatan (CKD) serta melanjutkan pengecualian duti bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU) sehingga Disember 2025.

"Bagi meningkatkan lagi penggunaan EV, kami menawarkan potongan cukai sehingga RM300,000 untuk syarikat yang menyewa kenderaan elektrik bukan komersial dan mengecualikan cukai jalan untuk EV sehingga 31 Disember 2025.

"Kami komited untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh Malaysia menjelang 2025.

"Buat masa ini, kita mempunyai 1,246 stesen pengecas awam yang beroperasi, menandakan hanya fasa awal infrastruktur pengecasan yang mantap berupaya memudahkan penggunaan meluas kenderaan elektrik," katanya.

Mengenai majis hari ini, Anwar berkata, pengenalan Kenderaan Elektrik Weststar Maxus MIFA 9 menjadi contoh bagaimana sektor swasta boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan matlamat bersama.

Selain itu, Anwar berkata, usaha tersebut menekankan dedikasi kerajaan bukan sahaja kepada agenda perubahan iklim dunia tetapi juga mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan rakyatnya.

"Saya ingin memuji Weststar Maxus atas usaha mengagumkan mereka sejak penubuhannya pada 2010, berjaya muncul sebagai penyumbang besar kepada sektor automotif Malaysia dan ekonomi negara.

"Acara hari ini merangkumi keazaman kolektif kita untuk menerima perubahan, melindungi alam sekitar kita dan membina masa depan yang mampan," kata Perdana Menteri. - Bernama