SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Peguam Negara telah memfailkan balasan kepada pendaftar mahkamah London Court of International Arbitration (LCIA), berkaitan dakwaan yang terkandung dalam permintaan untuk timbang tara daripada Goldman Sachs Group Inc (Goldman Sachs).
Ia berhubung perjanjian penyelesaian dalam skandal dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah Goldman Sachs menamakan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Menurut Jabatan Peguam Negara, salinan balasan tersebut turut dikemukakan kepada pihak Goldman Sachs seperti yang sewajarnya.
"Permohonan Untuk Timbang Tara ini adalah bagi mendapatkan relif-relif tertentu yang dikatakan berbangkit daripada pelaksanaan Perjanjian Penyelesaian bertarikh 18 Ogos 2020 yang telah dimeterai antara Kerajaan Malaysia, 1MBD dan Goldman Sachs.
"Berdasarkan Artikel 2.1 Peraturan LCIA, Kerajaan Malaysia hendaklah memfailkan balasan kepada pendaftar mahkamah LCIA dalam tempoh 28 hari dari tarikh Permohonan Untuk Timbang Tara tersebut difailkan.
"Pada 8 November 2023, Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Peguam Negara telah memfailkan Balasan kepada Pendaftar Mahkamah LCIA, dan mengemukakan sesalinan Balasan tersebut kepada pihak Goldman Sachs sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, dalam kenyataan sama Jabatan Peguam Negara menegaskan pihaknya komited dalam memastikan kepentingan Kerajaan Malaysia sentiasa dilindungi.
"Jabatan Peguam Negara akan memastikan kepentingan kerajaan juga kekal terpelihara sepanjang prosiding berkaitan Permohonan Untuk Timbang Tara yang telah difailkan oleh Goldman Sachs," katanya.
Sebelum ini, Goldman Sachs dilapor memfailkan permohonan timbang tara terhadap kerajaan berhubung perselisihan mengenai penyelesaian 1MDB.
Bank yang berpangkalan di New York itu, mendakwa kerajaan Malaysia telah melanggar 'kewajipannya untuk mengkreditkan aset dengan sewajarnya terhadap jaminan yang diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian dan untuk mendapatkan semula aset lain'.
Permintaan timbang tara tersebut telah diterima kerajaan pada 11 Oktober lalu.
Bagaimanapun, kerajaan menafikan semua dakwaan tersebut kerana ia tidak menunjukkan ciri-ciri sebenar pentadbiran kerajaan Malaysia.