Bertemakan ‘Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan’ HPPNK akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka mendapat sambutan meriah.
Kali terakhir HPPNK diadakan ialah pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
KPKM dalam satu kenyataan berkata, HPPNK 2023 dianjurkan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan sektor agro makanan untuk dijadikan satu agenda dalam negara demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan pembangunan negara.
"Sambutan HPPNK juga diadakan sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi penyumbang utama makanan di negara kita.
"Malah, HPPNK adalah salah satu platform untuk mempamerkan kisah kejayaan para peladang, penternak dan nelayan di samping menggalakkan dan menarik minat golongan muda untuk menceburi sektor pertanian,” jelas KPKM dalam kenyataan itu pada Isnin.
Selain itu, HPPNK 2023 yang berkonsepkan ‘mood’ baharu sebagai daya tarikan khusus untuk golongan orang muda dengan empat fokus utama iaitu Agro Mellenia berkonsepkan Keyakinan bagi golongan Belia, Agroteknologi dan Inovasi berkonsepkan daya cipta, Sejahtera Madani berkonsepkan kemampanan, hormat dan sejahtera serta Agro Madani berkonsepkan sejahtera dan ihsan.
Peluang dan tarikan
HPPNK 2023 juga bakal memberi peluang kepada masyarakat peladang, penternak dan nelayan bertemu melalui ekspo yang berlangsung secara fizikal selama tiga hari.
Penganjurannya dijangka menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian selain memberikan semangat baharu kepada golongan peladang, penternak dan nelayan di samping memberi kesempatan kepada mereka mendapatkan pengetahuan mengenai pemasaran sekali gus menjana pendapatan yang tinggi.
"Penganjuran HPPNK 2023 diharap akan membantu merancakkan semula ekonomi negara selain menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam sektor pertanian dan industri agro makanan,” jelas KPKM.
Selain itu, HPPNK 2023 turut menonjolkan kepentingan teknologi dan inovasi dalam industri agro makanan negara melalui tujuh showcase seperti mekanisasi, tanaman, ternakan, perikanan, food wastage, kelestarian pertanian dan perubahan iklim serta Internet Pelbagai Benda (IoT).
Turut dipamerkan ialah teknologi dron, prototaip sistem pertanian pintar serta model sistem pengairan dan saliran pertanian, Recirculating Aquaculture System (RAS) asuhan ikan marin (kerapu dan siakap) dan ternakan higenik (moina) dan lain-lain lagi.
Di samping itu, HPPNK 2023 turut memberi penekanan terhadap pengurusan sisa menerusi penghasilan by-product seperti kertas dan benang daripada serat nanas, demo pengurusan sisa dapur bagi penghasilan kompos daripada sisa tanaman serta impak perubahan iklim terhadap sektor pertanian.
Keterjaminan makanan
KPKM menegaskan, sejarah telah mencatatkan sama ada di waktu krisis mahupun aman, banyak negara lumpuh hanya kerana ketidakcukupan makanan atau kebergantungannya kepada bekalan negara luar.
Justeru, kekuatan dan keupayaan mana-mana negara bukan sahaja ditentukan dengan saiz dan aset ketenteraan, tetapi keupayaannya untuk mempertahan bekalan makanan.
Malah, makanan turut memainkan peranan besar dalam pembangunan negara menerusi strategi nutrisi yang betul.
Makanan yang dihasilkan menentukan kesihatan gaya hidup dan kecerdasan rakyat sekali gus menentukan masa depan negara.