MANCHESTER United berada di ambang penyingkiran Liga Juara-Juara selepas tewas 3-4 kepada FC Copenhagen di Stadium Parken pada Khamis.
Rasmus Hojlund yang juga bekas pemain Copenhagen tampil dengan dua gol dalam masa setengah jam untuk meletakkan United selesa di hadapan.
Namun, kad merah yang dilayangkan kepada Rashford mengubah takdir perlawanan dan berkemungkinan menutup peluang United selepas tiga kekalahan dalam empat perlawanan Kumpulan A.
Mohamed Elyounoussi dan Diogo Goncalves menyamakan kedudukan untuk Copenhagen sebelum separuh masa.
Penalti Bruno Fernandes meletakkan United kembali di hadapan, tetapi dua gol dalam tujuh minit terakhir daripada Lukas Lerager dan Roony Bardghji memberikan Copenhagen kemenangan Liga Juara-Juara pertama mereka sejak 2016.
United tenggelam di tangga tercorot kumpulan, satu mata di belakang Galatasaray dan Copenhagen, dengan baki dua perlawanan.
The Red Devils akan bertandang ke Galatasaray dalam masa tiga minggu sebelum menerima kunjungan juara kumpulan Bayern Munich.
Kekalahan akan terus meningkatkan tekanan kepada bos United, Erik ten Hag selepas sembilan kekalahan dalam 17 perlawanan musim ini.
"Kami bermain sangat baik sehingga kad merah. Kad merah mengubah segala-galanya. Kemudian, ia menjadi permainan yang berbeza.
"Ia adalah keputusan yang sangat keras. Dia (Rashford) hanya mahu memenangi bola," kata pengendali United, Erik Ten Hag.