Budak maut jatuh laut ketika bermain di beranda rumah atas air

Iklan
Gambar hiasan

LABUAN - Seorang kanak-kanak lelaki maut apabila terjatuh ke dalam laut ketika sedang bermain di beranda sebuah rumah atas air di Kampung Patau-Patau 1 di sini lewat petang Selasa lalu.

Muhamad Aidan Hakimi Mohd Reduan yang berusia 2 tahun dikatakan tergelincir dari beranda rumah itu sebelum mayatnya ditemukan terapung oleh bapa saudaranya yang pulang dari bekerja.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kanak-kanak lelaki berkenaan sedang bermain di rumah neneknya dan dijaga oleh ibu saudaranya yang berusia 20 tahun.

"Kanak-kanak lelaki itu dititipkan kepada ibu saudaranya ketika ibu bapanya pergi ke bank di bandar dan ketika bayi itu bermain di beranda yang tidak berpagar wanita itu tidak menyedari anak saudaranya terjatuh ke dalam laut dan terapung di bawah rumah.

Iklan

"Bapa saudara kanak-kanak berkenaan yang pulang melihat kejadian lalu terjun ke dalam laut untuk mendapatkannya membawa anak saudaranya itu ke hospital. Namun kanak-kanak tersebut meninggal dunia tidak lama selepas tiba di hospital,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh bapa kanak-kanak tersebut pada jam 6.58 petang semalam.

Iklan

Katanya, pihak polis sedang menyiasat punca kejadian dan sementara itu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama